Kerajaan rancang naikkan umur minimum media sosial kepada 16 tahun | Madani News

Kerajaan rancang naikkan umur minimum media sosial kepada 16 tahun

Kerajaan rancang naikkan umur minimum media sosial kepada 16 tahun

Langkah bertujuan bendung gejala sosial, akaun akan guna MyKad atau MyDigital ID” – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun dalam usaha membendung gejala sosial yang semakin meruncing di kalangan pelajar sekolah.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk cadangan supaya pendaftaran akaun media sosial diwajibkan menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigital ID atau pasport.

“Mekanisme itu mungkin sama seperti proses pengesahan identiti elektronik (e-KYC) yang digunakan oleh aplikasi perbankan dan e-dompet,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Bagi memperincikan pelaksanaan cadangan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi berkaitan akan ke Singapura minggu depan untuk berbincang dengan pengendali platform media sosial utama.

Menurut Fahmi, kerajaan juga akan berunding dengan Bank Negara Malaysia dan beberapa pihak lain berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem e-KYC yang digunakan oleh platform seperti Touch ’n Go eWallet dan Grab.

“Saya ingin tegaskan bahawa keputusan hari ini hanya di peringkat dasar. Hasil perbincangan dengan syarikat media sosial di Singapura akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata MCMC turut diminta meneliti tindakan terhadap platform e-dagang yang terus menjual barangan terlarang seperti produk narkotik dan senjata berbahaya.

Menurutnya, KKM dan KPDN sentiasa mengeluarkan arahan bagi menurunkan iklan produk terlarang, namun masih terdapat syarikat yang gagal mematuhi peraturan.

“Saya minta MCMC pertimbangkan tindakan tegas jika ada syarikat e-dagang yang enggan bekerjasama, supaya mereka akur kepada undang-undang negara,” katanya.

Langkah itu menyusul selepas pendedahan bahawa senjata tajam yang digunakan dalam kes bunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini dipercayai dibeli secara dalam talian.

BERNAMA