‘Pelajar cemerlang’ tidak dapat kursus diminta kerana rankingnya jauh di belakang, pemilihan UA berasaskan meritokrasi – KPT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawsa proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya sekali gus menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem UPUOnline.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata daripada 109,866 permohonan yang layak, sebanyak 78,883 orang atau 71.8 peratus telah ditawarkan tempat di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.
“Kemasukan pelajar ke institusi dibuat dengan menyusun semua calon yang layak mengikut merit tertinggi hingga terendah,” katanya pada sidang media berhubung isu pemilihan pelajar UPU di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata KPT memberi jaminan bahawa semua pelajar lepasan STPM/setaraf yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan memohon ke universiti awam ditawarkan tempat pengajian.
Daripada 1,255 calon STPM PNGK 4.00 yang memohon, sebanyak 1,249 orang telah pun ditawarkan tempat manakala enam orang masih dalam proses pengesahan berikutan isu teknikal berkait keputusan Malaysian University English Test (MUET), katanya.
“Empat daripada enam calon sudah dihubungi dan tindakan sewajarnya diambil untuk memproses tawaran mereka, manakala dua lagi calon masih dicari untuk dihubungi,” katanya .
Mengulas aduan terdapat pelajar lepasan diploma/setaraf dengan PNGK 3.99 tidak mendapat tempat, Azlinda berkata beberapa faktor menyebabkan kegagalan antaranya pemilihan kursus yang tidak setara dengan bidang pengajian diploma, tidak memenuhi syarat khas program serta dokumen permohonan tidak lengkap.
“Calon-calon dinasihatkan memanfaatkan tempoh rayuan yang dibuka dari 5 hingga 14 Sept ini,” katanya.
Mengenai kes calon STPM yang mengadu kepada seorang Ahli Parlimen, Azlinda berkata semakan mendapati calon itu hanya memohon program Perakaunan di empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Selepas proses pemilihan dijana oleh sistem, calon berkenaan ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang juga merupakan pilihan kelima calon itu sendiri.
“Walaupun dia (calon) memperoleh PNGK 4.00 dengan merit 99.90 peratus, ranking permohonannya dalam program perakaunan berada jauh di belakang calon lain yang mempunyai merit 100 peratus.
“Sebagai contoh, di UM terdapat 2,291 permohonan layak dengan 1,127 merit penuh. Calon berkenaan berada di kedudukan ke-1,129 sedangkan hanya 85 tempat disediakan,” katanya .
Azlinda menegaskan semua keputusan adalah dijana sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus dan program dimohon.
“KPT menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem sedia ada. Namun KPT sentiasa terbuka menerima pandangan dan penambahbaikan,” katanya.
Azlinda berkata bagi calon yang tidak berjaya atau mempunyai kemusykilan boleh menghadiri sesi konsultasi bersama pihak UPU pada 8 hingga 12 Sept ini di Lobi KPT, Putrajaya.
— BERNAMA