Tangan digari, dipakaikan baju oren, tak ingat anak isterikah? – Prabowo

PRESIDEN Indonesia,Prabowo Subianto ternyata kecewa dengan penahanan Immanuel Ebenezer apabila melontarkan persoalan apakah bekas Timbalan Menteri Tenaga Kerja negara itu, tidak ingat anak dan isteri ketika terlibat dalam kes peras ugut urusan pengeluaran sijil Keselamatan dan Kesihatan Kerja (K3).
Sijil itu diberikan kepada mereka memenuhi standard pengetahuan dan kemampuan untuk menerapkan prosedur K3 di tempat kerja.
Ketika berucap di Tangerang, Prabowo berkata, “Kalau tangannya diborgol (digari) dipakaikan baju oranye (oren), apa tidak ingat anak dan isterinya.”
Prabowo juga mengaku malu atas perbuatan Immanuel atau lebih dikenali sebagai Noel. Ia memandangkan Noel adalah ahli Parti Gerindra, walaupun belum memegang apa-apa jawatan (kader) dalam parti itu, lapor Kompas.com
Noel juga menjadi anggota Kabinet Merah Putih pertama ditangkap Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) di bawah pemerintahan Prabowo.
“Dia anggota (ahli), dia belum kader (memiliki jawatan dalam parti). Tapi tetap, tetap saya agak malu saya,” katanya walaupun bersimpati dengan nasib Noel.
Kata Prabowo, “Sebenarnya orangnya itu menarik, mungkin dia khilaf. Saya kasihan kadang-kadang, tapi apa boleh buat.’’
Sehubungan itu, Prabowo mengingatkan kepada semua menteri untuk menjauhi amalan rasuah dan menegaskan beliau sama sekali tidak akan melindungi ahli Parti Gerindra jika terlibat dalam jenayah itu.
KPK Indonesia mendedahkan, dalam kes melibatkan Noel, pekerja yang memohon sijil itu sepatutnya hanya membayar Rupiah 275,000 (RM71.10) sahaja tetapi mereka diugut membayar Rupiah 6 juta (RM1,551) jika mahu sijil tersebut diberikan.
Menurut Ketua KPK Setyo Budiyanto, jika pekerja terlibat tidak mahu membayar kos itu, permohonan mereka akan dilambatkan atau disulitkan bahkan langsung tidak diproses.
Setyo berkata, kes peras ugut itu telah berlaku sejak 2019 ketika Noel belum lagi menjadi anggota Kabinet. Bagaimanapun apabila menjadi Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Noel bukannya menghentikan perbuatan tersebut sebaliknya meminta habuan untuk dirinya.