Rasuah Sabah: SPRM perlu ‘kes kuat’ untuk dakwa lebih ramai – PM Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata keputusan SPRM mendakwa hanya dua daripada lapan Adun Sabah yang terbabit dalam skandal rasuah lesen melombong dibuat berdasarkan pertimbangan “kes kuat” di mahkamah.
Anwar, yang menjawab Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran), berkata ini berdasarkan justifikasi SPRM apabila dia bertanya skandal yang pertama kali didedahkan oleh ahli perniagaan yang bertukar menjadi pemberi maklumat Albert Tei – yang turut didakwa bersama dua lagi Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Lapan (Adun) dikaitkan liputan video itu. Tapi apabila SPRM lihat, kes mesti kuat untuk didakwa. Saya tak campur tapi saya tanya kenapa dua (didakwa)?
“Itu alasan mereka. Mereka ambil kes yang substantive in facts and law untuk pendakwaan. Kalau tak substantive dengar dari video saja, tak boleh (dakwa di mahkamah),” kata Anwar semasa sesi soal jawab Perdana Menteri, lapor Malaysiakini.
Pada 30 Jun lalu, Tei didakwa atas dua pertuduhan memberi rasuah mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
Dia dituduh memberi rasuah kepada Penolong Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin Yusof Yacob untuk membantu mendapatkan lesen cari gali mineral di negari itu.
Andi – yang merupakan ahli parlimen Kalabakan – didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Yusof, yang merupakan pengerusi Qhazanah Sabah, didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di bar atas bumbung Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023.
Suapan itu didakwa bertujuan membantu memproses lesen meneroka galian Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
Anwar hari ini berkata walaupun terdapat lapan Adun dikaitkan dalam siri awal video yang dibocorkan, rakaman sedemikian sahaja tidak boleh menjadi asas untuk pendakwaan tanpa bukti yang menyokong.
“Dari pengalaman saya sendiri, rakaman video sahaja tidak mencukupi tanpa sandaran fakta.
“Menurut SPRM, mereka yang didakwa adalah mereka yang mereka yakin mempunyai alasan yang mencukupi.
“Yang lain hanya berdasarkan khabar angin, termasuk suara dalam video,” katanya.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal berkata sekiranya kerajaan negeri dipimpin Warisan selepas pilihan raya Sabah akan datang, pertuduhan akan diteruskan terhadap lebih ramai ahli parlimen GRS yang terbabit dalam skandal rasuah itu. – MADANI NEWS