Proses damai boleh berjaya tapi BRN mesti hantar pemimpin sebenar berunding

Oleh : Penulis Khas
APABILA Malaysia khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memainkan peranan menamatkan konflik antara Thailand dan Kemboja pada 28 Julai lalu, banyak pihak khususnya di Selatan Thailand mengharapkan Perdana Menteri dapat melakukan usaha yang sama di wilayah itu.
Ketika proses rundingan masih menemui jalan buntu akibat sikap berdolak dalih Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pada saat penduduk Selatan Thailand dahaga keamanan akibat terus merasai kesengsaraan akibat konflik yang berlanjutan sejak 2004, kejayaan Anwar dan Kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja bagaikan satu harapan baru kepada mereka.
Malah baru-baru ini mereka berasa semakin teruja apabila Anwar menyatakan Malaysia bersedia untuk mendamaikan konflik di Selatan Thailand dan berusaha menghentikan ketegangan di antara kedua-dua pihak yang bertelagah.
Kata Perdana Menteri, Malaysia akan mempertingkatkan usaha mencari kedamaian di wilayah itu agar pengajian Islam dapat diteruskan dan bahasa Melayu boleh dimartabatkan.
Sudah pasti kenyataan Anwar memberi harapan kepada penduduk Islam Thailand dan impian mereka tidak mustahil dicapai apatah lagi pada 11 Ogos lalu, pemerintah Thailand menunjukkan kesungguhan untuk menamatkan konflik di Selatan Thailand apabila melantik seorang bekas pegawai tinggi tentera negara itu, Jeneral Niphat Thonglek sebagai Ketua Panel Dialog Damai (CPDP).
Pelantikan Niphat sudah pasti akan membolehkan dialog damai yang tertangguh sejak 1 Oktober 2024 berikutan pelantikan Ketua Panel sebelum ini, Chapchai Bangchuad sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand disambung semula.
Kehadiran Niphat membuktikan Thailand bersungguh-sungguh mahu menjayakan dialog damai dengan menghantar seorang bekas pegawai tentera yang cukup pengalaman memandangkan beliau pernah menjadi Penasihat Tentera Menteri Pertahanan, Pengarah Pentadbiran Hubungan Sempadan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan terbaru sebagai Pembantu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Berikutan itu BRN tidak ada alasan untuk tidak mahu menampilkan pemimpin sebenar mereka menghadiri dialog tersebut. Sebelum ini BRN hanya menghantar pemimpin bawah yang tidak ada kuasa dan terlalu prasangka terhadap pemerintah Thailand jika mereka menghantar pemimpin sebenar tersebut.

Jika BRN serius mahu mewujudkan perdamaian di Selatan Thailand, hantarlah pemimpin berkenaan bukannya mewakilkan pemimpin yang tidak boleh membuat apa-apa keputusan. Jika BRN masih kekal dengan sikap lama mereka, jangan mimpi kejayaan seperti mana rundingan konflik Thailand-Kemboja dapat dicapai.
Konflik Thailand-Kemboja selesai sebab kedua-dua negara jujur dan ikhlas. Mereka menghantar Perdana Menteri masing-masing, apabila sudah berjaya barulah ia diuruskan di peringkat Menteri Luar, Menteri Pertahanan dan angkatan tentera masing-masing.
Tetapi BRN tidak berbuat demikian sebab mereka mempunyai prasangka bahawa gesaan supaya menampilkan pemimpin sebenar mereka adalah helah Thailand. Lagipun apa yang BRN takutkan rundingan diadakan di Kuala Lumpur bukannya di Thailand. Pemerintah Thailand tidak boleh sewenang-wenangnya menahan pemimpin BRN yang datang berunding. Tambahan pula jika pemimpin BRN itu sebenarnya tinggal di luar negara.
BRN perlu jujur dan ikhlas dalam menjayakan dialog damai tersebut. Mereka perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh pemerintah Thailand yang terus berusaha mencari jalan bagi memastikan konflik di Selatan Thailand dapat ditamatkan. Adalah aneh ketika BRN mengatakan mereka berjuang demi kedamaian dan masa depan penduduk Islam wilayah itu tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri membuat pelbagai helah yang menggugat usaha berkenaan.
Oleh itu BRN tidak bolerh berdolak dalih lagi cukuplah sudah bertahun-tahun konflik itu berlaku, sudah beribu-ribu nyawa terkorban atau cedera, sekarang tahun 2025 dunia sedang mengejar pelbagai peluang untuk memajukan negara masing-masing tak kanlah BRN masih hendak meneruskan perjuangan sia-sia mereka.
Mereka perlu tampilkan pemimpin sebenar untuk datang berunding. Pemimpin yang boleh buat keputusan dan boleh beri arahan di lapangan bagi menghentikan keganasan, bukannya pemimpin datang ibarat untuk sembang-sembang kosong sahaja kemudiannya pulang menanti keputusan atasan.
Bagaimanapun selain pemerintah Thailand dan BRN, Malaysia sebagai fasilitator juga mempunyai peranan penting yang boleh menjadi penentu kepada kejayaan rundingan damai tersebut.
Tanpa bertujuan menuding jari kepada sesiapa, penulis sekadar mengingatkan tiada kira siapapun Ketua Fasilitator, beliau harus berhati-hati dalam tindak tanduknya supaya ia tidak menimbulkan sebarang perasaan curiga sama ada pada pihak Thailand mahupun BRN.
Kita tidak mahu ada pihak memberi alasan tidak berminat berunding kerana membuat tafsiran bahawa Fasilitator Malaysia berat sebelah kepada mana-mana pihak sama ada Thailand mahupun BRN.
Fasililator kita harus bekerjasama dengan semua pihak terutama bahagian perisikan Malaysia sama ada ATM dan PDRM. Melalui cara itu fasilitator bukan sahaja akan mendapat maklumat yang tidak pernah didedah oleh media tetapi juga cadangan dan syor bagi menjayakan misi yang dipertanggungjawabkan kepada beliau.
Pemerintah Thailand telah menunjukkan keseriusan mereka menjayakan dialog damai. Pelantikan Niphat membuktikan, mereka percaya seorang bekas pegawai kanan tentera lebih sesuai melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua perunding.
Justeru mungkin tidak salah, jika Malaysia juga memikirkan untuk melantik fasilitator dalam kalangan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia terutamanya mereka yang pernah memiliki pengalaman berurusan dengan isu Selatan Thailand ketika dalam perkhidmatan dahulu.
Individu seperti ini pasti tahu adat dan budaya orang Pattani, mempunyai jaringan dengan pemegang taruh dalam isu konflik serta paling penting ada hubungan peribadi dengan pemimpin puak pemisah. Selain itu ia mesti diterima oleh tentera dan pemerintah Thailand.
Apapun ini hanya sekadar pendapat memandangkan kebiasaannya dalam rundingan seperti proses damai Selatan Thailand ini, skil komunikasi antara fasilitator dengan pihak yang berunding sama ada dengan pemerintah Thailand dan BRN amat penting.
Kesimpulannya, dialog rundingan damai pasti boleh berjaya dengan syarat pemerintah Thailand terbuka menerima pandangan,BRN menghantar pemimpin sebenar sebagai wakil dan fasililator perlu mempunyai kemampuan menjadi orang tengah yang membaca taktik dan strategi kedua-dua pihak.
Semoga konflik Selatan Thailand akan selagi akan membuktikan kemampuan Malaysia jadi orang tengah bukannya sekadar menjadi pemerhati yang tiada apa-apa kejayaan. Jika konflik di wilayah itu gagal diselesaikan maka Malaysia juga akan terpalit .