Pembinaan jati diri pelajar tidak ke mana, kalau sekadar berkhemah di padang sekolah


SEPANJANG minggu lalu, dua berita menggemparkan sektor pendidikan iaitu kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan isu 19,000 orang guru yang bersara awal sejak tahun 2022.
Masalah guru bersara awal memungkinkan Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Kama Shaffei menganggap, guru sebagai profesion yang semakin kritikal.
Begitulah senario pendidikan negara kita hari ini yang kelihatan belum benar-benar direformasikan disebabkan kepimpinan negara belum melaksanakan revolusi dalam struktur pendidikan.
Bagi saya, situasi tersebut adalah sebahagian keluh kesah yang berlaku dalam dunia pendidikan, namun apa yang lebih meruntun jiwa dan perasaan saya ialah apabila diberitahu oleh cikgu-cikgu bahawa perkhemahan hanya mampu dilakukan di sekolah akibat kekangan kewangan.
Selepas 30 tahun meninggalkan profesion perguruan kerajaan namun masih kekal sebagai pendidik institusi pendidikan swasta sehingga ke hari ini, semua masalah tersebut menyebabkan saya berpendapat bahawa negara kita mengundur dalam usaha mengejar kemajuan bidang pendidikan.
Jika 30 tahun dahulu, saya enjoy membawa pelajar melakukan aktiviti perkhemahan di luar sekolah dan mengadakan rombongan melawat pelbagai warisan sejarah dan industri, hari ini kita masih bercakap soal perkhemahan di padang sekolah.
Keadaan itu berlaku kerana pelajar dan pentadbir sekolah tidak mampu membiayai perkhemahan di luar sekolah. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana kira-kira 30 tahun lalu, saya membawa pelajar-pelajar ke tengah laut ketika mengadakan perkhemahan motivasi di Kem Bina Semangat Pasir Panjang, Port Dickson.

Seorang cikgu memberitahu saya, perkhemahan adalah antara aktiviti wajib setiap tahun. Beliau yang mengajar di salah sebuah sekolah pinggir bandar (berpengalaman mengajar hampir 30 tahun) turut menyedari bahawa proses pembinaan jati diri pelajar hari ini tidak akan ke mana, jika sekadar berkhemah di padang sekolah
“Jika kami adakah aktiviti perkhemahan di luar sekolah, ramai yang tidak dapat menyertainya kerana masalah kewangan. Malah kalaupun kami mahu mengadakan aktiviti tersebut di sekolah dengan bayaran minimum RM40 seorang untuk 3 hari 2 malam…ada pelajar tidak dapat menyertainya kerana tidak mampu,’’ kata cikgu tersebut.
Beliau turut berpendapat, syarat ketat bagi mendapatkan kelulusan mengadakan aktiviti luar sekolah dan risiko keselamatan kepada guru turut menyebabkan pihak sekolah memilih membuat perkhemahan di padang sekolah.
Saya terkejut mendengar cerita guru berkenaan. Jika 30 tahun lalu, guru-guru perlu menghantar permohonan aktiviti luar sekolah sekurang-kurangnyaa 3 bulan lebih awal daripada tarikh yang dicadangkan ia diadakan. Rupa-rupanya peraturan itu masih berkuatkuasa hari ini, sedangkan pada ICT ini, proses seperti itu sepatutnya lebih mudah.
Seorang lagi cikgu pula memberitahu, sejak kebelakangan ini peraturan semakin cerewet untuk pihak luar memberi sumbangan kepada pihak sekolah. Ia menyebabkan mereka sukar mendapat kerjasama pihak luar yang berniat membantu sekolah.
Selain itu, seorang sahabat saya mengadu bagaimana wakil-wakil rakyat sekarang bukan macam dulu yang mudah hendak nak dapat sumbangan. Lebih parah katanya kalau YB-YB itu daripada pembangkang.
“YB yang memerintah dah kurang kantung, YB pembangkang pula susah nak terlibat dengan aktiviti sekolah. Maka kami berkhemah sahajalah di padang sekolah”, kata sahabat saya yang berhasrat bersara awal.

Turut kelihatan (kanan) Ikon belia, Pengasas syarikat Haus Boom dan Bulan Bintang Azri Zahier Dato’ Dr Azmi.
Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya memandangkan ringan isu perkhemahan yang terjejas akibat masalah kewangan. Lebih-lebih lagi di sekolah luar bandar atau sekolah yang dikategorikan pelajar paling ramai golongan miskin.
Perkhemahan adalah sebahagian aktiviti luar bilik darjah yang boleh membina pembentukan jati diri dan membolehkan pelajar mematuhi disiplin, menguji daya tahan fizikal dan emosi untuk berhadapan cabaran hidup.
Persekitaran di tapak perkhemahan luar sekolah yang berteraskan alam semulajadi adalah pendedahan terbaik untuk mereka mencabar diri dan memperkukuhkan jati diti menjadi bangsa yang bersemangat dan berjiwa kental.
Kita tidak perlu hairan apabila hari ini tenaga kerja negara kita terutama dalam sektor kritikal seperti pertanian dan perladangan serta pelbagai sektor 3D (Diffilcult, Dirty, Dangerous) dimonopoli oleh pekerja asing.
Puncanya kerana tarbiah yang diberikan kepada pelajar sama ada oleh ibu bapa dan sekolah boleh dianggap bersifat ‘manja’ dan ‘mual’, kadang-kadang keterlaluan?
Selain itu cikgu-cikgu yang bakal pencen turut memberitahu saya bahawa cikgu-cikgu muda sekarang bukan lagi lasak untuk tidur berkhemah di sekolah.
“Tinggallah kami yang tua-tua ini bertungkus-lumus menguruskan perkhemahan bersama pelajar”, kata seorang guru wanita yang pernah mengikuti pengajian pendidikan bersama saya suatu masa dulu.
Ketika bekerjasama dengan kerajaan Singapura kira-kira 10 tahun lalu, kami pernah menerima ramai pelajar dari republik itu melancong ke Melaka kerana Kerajaan Singapura menyediakan dana yang membolehkan sekolah mereka menimba pengalaman di luar negara.
Dua tahun lalu, saya terkejut melihat begitu ramai murid berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi yang masing-masing memakai uniform sekolah tadika. Mulanya saya fikir mereka mahu terbang ke mana-mana.
Rupa-rupanya ia sekadar lawatan pendedahan yang dibenarkan walaupun perlu mengikut prosedur lapangan terbang. Pada usia 5 tahun, mereka sudah memahami prosedur lapangan terbang dan pengendalian urusan penerbangan. Hampir setiap kali saya ke Changi, saya akan menyaksikan kanak-kanak ini belajar mengenai operasi lapangan terbang Changi tetapi suasana ini sukar kita lihat di KLIA.
Oleh itu semua pihak harus memainkan peranan untuk mengubah keadaan ini kerana kelemahan jati diri boleh menyebabkan generasi pewaris masa depan akan gagal mengharungi cabaran dalam dunia yang semakin rencam. Langkah ini memerlukan usaha bersepadu antara pihak sekolah, kerajaan, ibu bapa dan masyarakat yang boleh menyumbang kepada aktiviti sekolah.
Alhamdulillah, saya mempertahan dan menambahbaik Kompleks Desa Warisan IGROW di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak bagi membolehkan pelajar sekolah memanfaatkan suasana perkemahan dalam dusun dan kompleks pertanian pada kadar berpatutan.
Sesekali saya sendiri mengadakan kem pelajar anjuran IGROW tanpa sebarang bayaran kerana saya bukan sahaja usahawan malah mempunyai kelulusan profesional dalam bidang pendidikan. Jiwa cikgu dan pendidikan saya masih tebal dan tinggi.
Semoga Menteri Pendidikan Fadlina Sidek, dapat membaca artikel saya ini dan menghadamnya dengan jiwa dan perasaan yang tenang (cool). Jangan terkial-kial mengotakan janji reformasi!
*Penulis adalah Usahawan dan aktivis sosioekonomi.