Inkues bulan depan, mampu jawab segala persoalan kematian Allahyarham Zara Qairina | Madani News

Inkues bulan depan, mampu jawab segala persoalan kematian Allahyarham Zara Qairina

Inkues bulan depan, mampu jawab segala persoalan kematian Allahyarham Zara Qairina

Rakyat tidak boleh lagi disogok dengan kenyataan-kenyataan oleh pak menteri atau ibu menteri yang akhirnya ditafsirkan oleh rakyat ada sesuatu mahu disembunyikan. Justeru inkues akan mendedahkan apa sebenarnya berlaku.”

KEMATIAN Allahyarham Zara Qairina Mahathir bukan lagi sekadar kematian biasa. Ia telah mencetuskan kebangkitan gelombang rakyat di seluruh negara. Beribu-ribu orang menyertai himpunan solidariti untuk pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha Sipitang itu.

Bukan sahaja di Malaysia, malah di Selatan Thailand, Brunei, Indonesia dan Singapura kematian Zara Qairina merentap jiwa dan meruntun hati rakyat negara berkenaan. Melalui media sosial khususnya Tik Tok esemua mereka mahu jawapan apakah punca kematian gadis yang baru mahu memulakan pembelajaran di sekolah menengah.

Apakah benar Allahyarham jatuh dari tingkat 3? Adakah benar berlaku jenayah buli? Adakah benar ada anak atau ahli keluarga VVIP terlibat? Kenapakah polis tidak melakukan post mortem sejak awal? Kenapa pengetua, warden dan penolong kanan sekolah berkenaan hanya ditukar ke Jabatan Pendidikan Negeri selepas kes ini heboh?

Semuanya akan terjawab apabila Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menetapkan prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina pada bulam depan. Prosiding itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah terbabit dalam kematiannya.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September. Seramai 195 saksi dikenal pasti untuk inkues itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).

“Memandangkan kes ini adalah suatu kes yang berkepentingan awam, jabatan ini akan memohon permohonan kes ini dipercepat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan saja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” kata kenyataan itu.

Sememangnya keputusan Jabatan Peguam Negara adalah tepat sekali memandangkan isu ini bukan lagi sekadar satu isu seorang pelajar maut yang didakwa jatuh dari tingkat 3 bangunan sekolahnya.

Kematian Allahyarham Zara Qairina mewujudkan pelbagai persoalan yang menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan negara mana.

Oleh itu sementara suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam kes berkenaan jangan dipinggirkan, suara ahli politik yang turut membangkitkan isu janganlah dianggap mahu mempolitikkannya. Semua ini terjadi kerana rakyat merasakan sejak awal kes ini berlaku banyak kejanggalan yang akhirnya menimbulkan pelbagai persepsi, tanggapan, andaian dan mungkin juga fitnah.

Janganlah salahkan rakyat akibat timbul perkara demikian sebaliknya kajilah punca rakyat berbuat demikian. Kes kematian Allahyaham Zara Qairina membuktikan rakyat kini semakin berani bersuara apabila melihat sesuatu yang tidak kena.

Rakyat tidak boleh lagi disogok dengan kenyataan-kenyataan oleh pak menteri atau ibu menteri yang akhirnya ditafsirkan oleh rakyat ada sesuatu mahu disembunyikan. Justeru inkues akan mendedahkan apa sebenarnya berlaku. Insha-Allah.