Demi survival politik UMNO,Akmal mesti ‘Bijak laksana Tuah, Berani laksana Jebat’ | Madani News

Demi survival politik UMNO,Akmal mesti ‘Bijak laksana Tuah, Berani laksana Jebat’

Demi survival politik UMNO,Akmal mesti ‘Bijak laksana Tuah, Berani laksana Jebat’

ANALISIS

PENULIS sama sekali tidak percaya bahawa tindakan Dr.Akmal Salleh yang begitu tegas mempertahankan Jalur Gemilang bermotif politik atau berhasrat membuli mereka yang memasang terbalik bendera lambang maruah negara itu.

Sebaliknya penulis melihat jika Ketua Pemuda UMNO itu tidak bersuara, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Kalau bermotif politik Akmal tidak akan mengajak semua pihak termasuk parti politik menyertai himpunan di sebuah kedai di Kepala Batas.

Malangnya kelantangan Akmal tidak ke mana. Hanya segelintir sahaja pemimpin UMNO yang menyebelahi beliau termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan. Dalam kalangan Pemuda UMNO pun hanya segelintir sahaja bersuara….yang lain bagaikan kura-kura yang terus menyembunyikan kepalanya.

Kasihan Akmal, beliau mungkin terlupa bahawa kedudukan UMNO dalam kerajaan tidak seperti dulu atau lebih tepat lagi sebelum PRU-14. Sebelum pilihan raya berkenaan UMNO dominan dalam  gelanggang politik mahupun pentadbiran kerajaan tetapi sekarang UMNO tiada kekuatan itu lagi.

UMNO dan BN tidak menang satu kerusi pun di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kelantan, dan Terengganu. Di Kual Lumpur menang satu kerusi sahaja manakala kerusi Labuan dan Putrajaya jatuh kepada Bersatu. Di Pahang dan Perak, BN tidak dapat bentuk kerajaan tanpa kerjasama parti lain.

Berikutan keadaan itu, UMNO hanya dominan di Johor dan Melaka – negeri Akmal yang merupakan ADUN Merlimau manakala di peringkat pusat atas ehsan PH, UMNO kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Atas sebab itulah majoriti pemimpin UMNO tidak bersuara walaupun Akmal ‘diserang hebat’ bukan sahaja oleh pemimpin DAP malah dalam kalangan komponen BN sendiri. Mereka tahu senario politik sudah berubah.

Mereka bimbang jika ‘banyak songel’ kedudukan UMNO dalam PRU-16 nanti dalam bahaya. Ia memandangkan UMNO benar-benar memerlukan sokongan PH untuk menang dalam pilihan raya itu disebabkan pengundi-pengundi Melayu  sudah tidak lagi menyokong UMNO.

 UMNO bergantung kepada penyokong PH untuk menang di kerusi-kerusi yang bukan Melayu menjadi penentu. Justeru itulah mereka bimbang jika tindak tanduk Akmal akan menggugat kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan sekaligus akan mengheret UMNO ke Lembah kekalahan lebih teruk dalam PRU-16.

Gambar Dr.Akmal Saleh yang penuh makna dalam Facebook beliau.

Dalam soal ini, penulis tidak anggap apa yang dilakukan oleh UMNO salah dan penulis juga tidak mengatakan apa yang dibuat Akmal tidak betul. Tetapi Akmal mesti berpegang kepada slogan Kerajaan Negeri Melaka ‘’Bijak laksana Tuah, Berani laksana Jebat’’.

Maksudnya apa juga tindakan perlu ada kebijaksanaan untuk menilai di mana kedudukan UMNO sekarang. UMNO pusat bukan seperti UMNO Melaka yang menguasai secara total pentadbiran Kerajaan Negeri, UMNO pusat hanya pelengkap kepada kerajaan pusat.

Oleh itu tidak salah untuk Akmal berani laksana Jebat seperti mana apa yang berlaku sekarang…teruskan cuma perlu berhati-hati dan bersedia menghadapi segala kemungkinan, paling penting jangan harap pemimpin-pemimpin kanan UMNO akan mempertahankan beliau.

Ia kerana survival politik UMNO jauh lebih penting berbanding Akmal yang boleh diganti bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun diharapkan Akmal tidak akan patah semangat dalam perjuangannya kerana beliaupun sudah menyatakan ‘’Sayang saya pada agama,bangsa dan tanah air ini tiada nilainya’’.

 Lagipun penilaian orang politik tidak penting kerana apa yang berlaku kepada beliau sedang diperhatikan oleh rakyat khususnya orang Melayu. Merekalah yang akan menentukan survival politik UMNO! Teruskanlah perjuangan dengan kebijaksanaan dan keberanian.