Shila dakwa ‘diserang’ – Polis tidak tolak panggil semula Amy Search

POLIS tidak menolak kemungkinan memanggil semula penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search untuk dirakam keterangan susulan siasatan berterusan terhadap dakwaan penyanyi Shila Amzah yang mendakwa ‘diserang’ sewaktu sesi latihan sebuah konsert baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keperluan mendapatkan keterangan tambahan daripada Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kuala Lumpur sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini, lapor Mstar.
Kes ini menjadi perhatian ramai selepas Shila, atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 35, membuat laporan polis pada 10 Julai lalu dengan mendakwa dirinya diserang secara lisan oleh seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan. Tidak lama selepas itu, Shila mengesahkan individu terbabit adalah Amy, bapa kepada pelakon Nabila Huda.
Lebih merumitkan keadaan, Amy pula tampil membuat laporan balas pada malam Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, seperti disahkan oleh peguamnya, Datuk M. Reza.
Mohamed Usuf memaklumkan kedua-dua laporan – oleh Shila dan Amy – kini disiasat secara selari dan teliti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Sumber siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada ketegangan yang timbul apabila Amy didakwa tidak berpuas hati dengan tindakan Shila yang disifatkan mencampuri urusan keluarganya.