Allianz General tawar pakej insurans kepada industri fesyen tempatan | Madani News

Allianz General tawar pakej insurans kepada industri fesyen tempatan

Allianz General tawar pakej insurans kepada industri fesyen tempatan

ALLIANZ General Insurance Company (Malaysia) Bhd (Allianz General) telah bekerjasama dengan International Fashion Chamber Malaysia Bhd (International Fashion Chamber) untuk menawarkan Pakej Insurans Allianz Business Shield kepada perniagaan fesyen.

Inisiatif itu bertujuan melindungi perniagaan fesyen daripada risiko operasi harian dan menyediakan perlindungan insurans berkaitan acara apabila mereka menyertai acara fesyen bagi mempamerkan hasil kerja masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz General Sazali Abd Rahman berkata kerjasama itu memperkasakan industri fesyen Malaysia dan membolehkan syarikat insurans memainkan peranannya dalam memupuk senario fesyen tempatan dengan melindungi perniagaan fesyen daripada risiko.

“Perniagaan fesyen akan diperkenalkan kepada risiko fesyen dan operasi (FROC), perlindungan yang penting dan disesuaikan, membolehkan usahawan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan kreativiti mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam bersempena pelancaran platform fesyen nasional, MyFashionChamber.

Platform itu menggabungkan pereka fesyen, pendidik, pekerja mahir dan pengguna inovasi di bawah satu misi, bagi menghubungkan kreativiti dengan perdagangan dan mengukuhkan kedudukan fesyen Malaysia di peringkat global.

Selain itu, platform itu juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri fesyen global dengan mentakrifkan semula industri fesyen di rantau ini dengan menangani jurang struktur yang berlaku sejak sekian lama.

Ia turut menjadi jambatan antara bakat, perdagangan dan pendidikan dan akses pasaran antarabangsa dengan menyediakan sokongan, kebolehlihatan, pembinaan kapasiti dan rangkaian global.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif International Fashion Chamber Jay Ishak menekankan keperluan mendesak untuk perlindungan risiko dalam industri fesyen, terutama semasa acara antarabangsa, dan mengalu-alukan peranan Allianz General dalam menangani keperluan kritikal tersebut.

“Kami berbincang dengan Allianz selama satu tahun. Syarikat ini secara tradisinya memberi tumpuan kepada industri sukan tetapi kami berjaya meyakinkan mereka untuk meneroka bidang fesyen dengan lebih meluas.

“Kami meminta mereka untuk berfikir secara berbeza kerana fesyen merupakan tempat kreativiti dan perdagangan bertemu, dan ia berhak mendapat perlindungan yang sama,” katanya sambil menambah bahawa tiada pihak yang terfikir untuk mengaitkan risiko dengan pertunjukan fesyen.

Pengerusi International Fashion Chamber Dr Leena Al-Mujahed berkata MyFashionChamber merupakan satu ekosistem yang memupuk bakat, inovasi dan menyediakan suara kreatif di Malaysia ke pentas dunia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata MATRADE menyokong usaha International Fashion Chamber dan berharap agensi promosi perdagangan nasional itu mampu membantu syarikat tersebut.

Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah menyerikan majlis itu dengan kehadirannya.

Untuk mendapat maklumat mengenai MyFashionChamber sila layari https://myfashionchamber.org/.
— BERNAMA