AG harus halang tindakan PM mohon imuniti, buka ruang kepada penyalahgunaan kuasa - PN | Madani News

AG harus halang tindakan PM mohon imuniti, buka ruang kepada penyalahgunaan kuasa – PN

AG harus halang tindakan PM mohon imuniti, buka ruang kepada penyalahgunaan kuasa – PN

PERIKATAN Nasional (PN) memandang serius tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibhraim telah memohon kekebalan bersyarat (conditional immunity) atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kerajaan dalam kes saman oleh Yusoff Rawther.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan ini menimbulkan persoalan besar tentang penggunaan prinsip kekebalan yang diperuntukkan dalam Perkara 181, 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan – peruntukan yang secara khusus merujuk kepada kekebalan bersyarat Raja-Raja, bukan kepada mana-mana pemimpin politik termasuk Perdana Menteri.

“PN dengan ini menggesa Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, serta dalam kapasitinya sebagai individu yang seharusnya bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, supaya campur tangan segera dalam isu ini, sama ada sebagai pencelah (intervenor) mahupun sahabat mahkamah (amicus curiae) dalam prosiding permohonan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

PN menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk:

  1. Meneliti kesahihan permohonan kekebalan yang dibuat oleh Perdana Menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan;
  2. Menegur dan menasihati Perdana Menteri secara rasmi sekiranya tindakan tersebut menyalahi semangat dan peruntukan Perlembagaan;
  3. Mengelak duluan kehakiman (judicial precedent) berbahaya yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik di hadapan undang-undang.

“Jika prinsip kekebalan ini disalah guna atau digunakan secara terpilih, ia bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi perdana negara, tetapi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menghakis
kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan keseluruhannya,” tambahnya.

Katanya, PN juga menyeru agar Peguam Negara bertindak selaku Pengawal Perlembagaan (Guardian of the Constitution) selaras dengan sumpah jawatannya, mempertahankan Perlembagaan dan menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa takut atau pilih kasih (without fear or favour).

PN berpandangan sekiranya Perdana Menteri merasakan saman terhadap beliau tersebut tidak berasas, beliau boleh mengikut undang-undang di peringkat awal lagi membuat permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas perbagai alasan, antaranya saman tidak mempunyai sebarang kausa tindakan yang menasabah, bersifat remeh temeh, penyalahgunaan proses mahkamah, tidak mengikut prosedur yang betul dan seumpamanya.

Beliau berkata, kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi. Tiada siapa pun – hatta Perdana Menteri – yang boleh dikecualikan daripadanya.

“Pengawal Perlembagaan bukan alat kuasa – dia adalah benteng terakhir rakyat dari kezaliman (The Guardian of the Constitution is not s tool of power – he is the people’s last line of defence against tyranny).” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Anwar memfailkan permohonan ke mahkamah minggu lalu yang dilaporkan bertujuan merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada dia mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.

Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar pada tahun 2021 dengan mendakwa perdana menteri itu melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.

Anwar kini memohon Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan dia kekebalan bersyarat terhadap tindakan undang-undang yang dikemukan Yusoff.

Anwar juga meminta mahkamah memutuskan sama ada kebenaran agar saman itu diteruskan akan menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab eksekutif secara berkesan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews