MACSA bimbang layanan berat sebelah, tidak adil dalam isu penghinaan agama | Madani News

MACSA bimbang layanan berat sebelah, tidak adil dalam isu penghinaan agama

MACSA bimbang layanan berat sebelah, tidak adil dalam isu penghinaan agama

GABUNGAN Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) amat bimbang dengan layanan tidak adil, berat sebelah dan berbeza-beza dalam tindakan pihak berkuasa berkenaan isu penghinaan agama.

Pengerusi MACSA, Datuk Lukman Sheriff Alias dan Pengerusi Bersama MACSA, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar ini kerana apabila agama Islam dihina, siasatan sering dilihat ditangguhkan dan pesalah hanya dikenakan hukuman ringan, walaupun perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan dan kesedihan umat Islam.

“Sebaliknya, tindakan pantas terhadap penyampai radio Era FM mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang bersifat selektif,” kata mereka dalam satu kenyataan akhbar.

Berikut kenyataan penuh MACSA:

Ketidakadilan dan Tindakan Berat Sebelah dalam Menangani Isu Penghinaan Agama

“KAMI merujuk kepada insiden yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM yang seolah-olah memperolok-olokkan amalan agama Hindu. Kami ingin mengingatkan kepada semua penyampai radio atau penggiat hiburan bahawa perlu mempunyai batas dan menjaga adab dalam membuat jenaka ataupun konten hiburan supaya tidak menggugat keharmonian antara agama mahupun kaum di Malaysia.

Dalam masa yang sama kami menyeru semua pihak untuk bertenang dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Namun, kami amat bimbang dengan layanan yang tidak adil dan berbeza-beza dalam tindakan pihak berkuasa dalam isu ini. Tindakan pantas terhadap penyampai radio Era FM jelas berbeza apabila adanya penghinaan terhadap agama Islam. Siasatan berjalan dengan perlahan, dan hukuman yang dikenakan terlalu ringan. Jika pihak berkuasa benar-benar komited dalam mengekalkan keharmonian agama, maka semua kes—tanpa mengira agama yang terlibat—harus ditangani dengan tahap keutamaan dan ketegasan yang sama.

Untuk membuktikan perkara ini, berikut adalah beberapa kes penghinaan terhadap Islam:

  1. Juruteknik dihukum atas hantaran Facebook menghina ‘Allah’ pada stokin (Mac 2024)

Chiok Wai Loong, seorang juruteknik berusia 35 tahun, hanya dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 kerana memuat naik kandungan menghina berkaitan stokin yang memaparkan perkataan “Allah”. Walaupun menerima kecaman hebat dan banyak laporan polis dibuat, hukuman yang dikenakan adalah ringan berbanding keseriusan kesalahan tersebut.

  1. Lelaki ditahan di Wangsa Maju kerana didakwa menghina Islam (Mei 2023)

Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana mempermainkan ucapan ‘salam’ dalam Islam menerusi satu video yang tular. Walaupun dia didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, siasatan mengambil masa yang lama dan tidak dilaksanakan dengan tahap keutamaan seperti kes-kes lain.

  1. Individu dari Sabah dihukum kerana menghina Islam di Facebook (Mac 2024)

Ricky Shane Cagampang, seorang perunding hartanah berusia 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana membuat kenyataan menghina berkaitan isu stokin ‘Allah’ di Facebook. Walaupun mahkamah mengakui keperluan untuk melindungi sensitiviti agama, hukuman yang dikenakan terlalu ringan berbanding kesan buruk yang boleh timbul akibat kenyataan tersebut.

  1. Cecilia Yap dan Harith Iskander.

Cecilia Yap dan Harith Iskander menghina nama Nabi Muhammad dan agama Islam di mana laporan polis telah dibuat seawal 21 Januari 2025, hanya dikenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 semalam 5 Mac 2025, selepas orang ramai mendesak pihak berkuasa untuk memberikan perkembangan terkini mengenai kes tersebut.

Kes-kes ini jelas menunjukkan tindakan berat sebelah yang membimbangkan. Apabila agama Islam dihina, siasatan sering kali ditangguhkan, dan mereka yang bersalah hanya dikenakan hukuman ringan, walaupun perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan umat Islam. Sebaliknya, tindakan pantas terhadap penyampai radio Era FM mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang bersifat selektif.

Layanan berat sebelah ini tidak boleh diterima. Jika Malaysia benar-benar mahu menegakkan keharmonian agama, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama. Kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan segera terhadap sebarang bentuk penghinaan agama, tanpa mengira agama yang menjadi sasaran. Keadilan tidak boleh dilihat memihak kepada mana-mana pihak, kerana ia akan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan dan menggugat kestabilan negara.

Pihak berkuasa kini harus membuktikan komitmen mereka terhadap keadilan yang saksama dengan mengkaji semula kes-kes terdahulu yang melibatkan penghinaan terhadap Islam dan memastikan semua komuniti agama mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang. Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan memperdalam rasa tidak puas hati serta menghakis keyakinan rakyat terhadap Malaysia.

Datuk Lukman Sheriff Alias
Pengerusi MACSA
dan
Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama MACSA

Kenyataan Media MACSA ini turut disokong oleh 63 ahli Gabungan MACSA serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO/NGI) yang prihatin di Malaysia.