Impian tercapai setelah 37 tahun, Sarimah dapat kembali empat salinan asal filem | Madani News

Impian tercapai setelah 37 tahun, Sarimah dapat kembali empat salinan asal filem

Impian tercapai setelah 37 tahun, Sarimah dapat kembali empat salinan asal filem
Teo Nie Ching (kiri) berbual bersama Sarimah dan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez (kanan) pada Ziarah Seni Madani Finas di kediaman anak Sarimah di Subang Jaya pada Jumaat 14 Mac. - Gambar FB Teo Nie Ching

HAMPIR empat dekad seniwati terkenal, Datuk Sarimah Ahmad, berjuang untuk mendapatkan kembali hak cipta empat filem keluaran syarikat produksinya, Sarimah Film Production (SFP) yag dikatakan diambil oleh sebuah syarikat produksi sejak 37 tahun lalu.

Filem ‘Dia Ibuku menang sembilan anugerah pada Festival Filem Malaysia Kedua 1981.

Filem-filem tersebut ialah Dia Ibuku, Detik 12 Malam, Jejak Bertapak dan Kabus Tengahari yang kesemuanya dihasilkan pada era kegemilangan SPF. Pita asal filem berkenaan dikatakan diambil oleh seorang penerbit pada hari kematian suami Sarimah, Yusuf Majid, pada 1988.

Untuk rekod, ‘Dia Ibuku’ (1981) arahan Yassin Salleh merupakan sebuah filem box office, membariskan Sarimah, M Jamil dan Mozaid. Filem ini mencapai kejayaan besar pada Festival Filem Kedua 1981, memenangi Anugerah Filem Terbaik dan lapan anugerah lain.

Teo Nie Ching dan Sarimah

Antaranya Pengarah Terbaik, Aktres Terbaik, Filem Heavy Drama Terbaik, Lakon Layar Terbaik Jurukamera Terbaik dan Pengarah Seni Terbaik.

Harapan Sarimah agar salinan empat filem yang ‘lenyap’ itu kembali ke pangkuannya sebelum menutup mata. Beliau hampir patah semangat berjuang kerana pelbagai usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil.

Berkat sabar menunggu, hasratnya tercapai hasil usaha Kementerian Komunikasi serta Perbadaan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang menggerakkan usaha mendapatkan salinan asal filem berkenaan setelah Sarimah mendedahkan mengenainya lebih setahun lalu.

Sarimah bersyukur empat salinan asal filem terbitan syarikatnya diperoleh kembali selepas 37 tahun.

Berita gembira ini diberitahu oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Program Ziarah Seni Madani Finas di kediaman anak Sarimah di Subang Jaya pada Jumaat 14 Mac.

Sarimah merupakan penerima pertama program itu sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Program ini mensasar 100 penerima sebagai menghargai dan mengiktiraf tokoh dan anak seni legenda tanah air.

Menurut Teo, empat filem terbitan Sarimah Film Production itu diambil oleh sebuah syarikat produksi di bawah perjanjian tayangan pada 1989.

Syarikat produksi berkenaan setuju menyerahkan salinan filem dalam format cakera keras kepada Finas untuk pemulihan atau restorasi. Langkah ini membolehkan salinan filem tersebut kemudiannya diserahkan kepada Sarimah.

Memetik Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Azmir Saifuddin Mutalib, perbincangan mendapatkan semula salinan filem Sarimah dengan syarikat produksi yang mengambil filem berkenaan berjalan hampir setahun sebelum bersetuju menyerahkannya kepada Finas.

Beliau menjelaskan, filem tersebut mulanya diambil melalui perjanjian dengan satu pihak. Tetapi pihak tersebut kemudian menjualnya pula kepada pihak lain. Melalui usaha gigih, akhirnya ia dapat dikesan dan perbincangan diadakan.

Seniwati jelita Sarimah pada usia muda

Pihak terlibat bukan sahaja bersetuju menyerahkan salinan filem berkenaan tetapi juga membenarkan disiar di Radio TV Malaysia (RTM) dengan royalti menurut kadar ditetapkan diserah kepada Sarimah kelak.

Sarimah yang ternyata terharu memperoleh kembali hakcipta asal filem terbitannya, berterima kasih kepada kerajaan, terutama perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetus dan menggerakkan usaha mengesan filem berkenaan.

Katanya, harapan yang kian menipis setelah usaha memperoleh filem berkenaan gagal, kembali bernyala apabila pihak kementeiraan, Finas dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bertekad menyelesaikan kemelut sejak sekian lama.

Pada Ziarah Seni Madani itu juga Teo menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban Sarimah serta simbol menghargai sumbangan beliau dalam industri perfileman negara yang mana syarikatnya adalah antara yang paling produktif.

Sarimah pernah menghidap kanser usus tahap tiga pada 2022. Bagaimana pun beliau memberitahu kini sudah pulih ekoran pembedahan yang dilakukan pada tahun sama.

– MADANINEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews