DAP jangan buat perubahan demi kepentingan politik semata-mata

KUALA LUMPUR – Kredibiliti DAP akan terus dipersoalkan sekiranya parti itu melakukan perubahan hanya demi kepentingan politik semata-mata.
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, parti itu kini menunjukkan sikap yang lebih realistik apabila melonggarkan syarat penerimaan darjah kebesaran dalam kalangan wakil rakyat mereka.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada DAP kerana akhirnya menunjukkan sikap yang lebih realistik dan menerima norma masyarakat Malaysia.
“Jika dahulu mereka cepat menuduh ahli politik Cina yang menerima darjah kebesaran sebagai tidak ikhlas berkhidmat dan hanya mengejar status serta pangkat, hari ini mereka sendiri tidak mempunyai masalah menerimanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengumumkan bahawa parti itu akan melonggarkan syarat penerimaan darjah kebesaran dalam kalangan wakil rakyat mereka, dengan setiap tawaran akan diteliti oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Anthony berkata demikian ketika berucap pada Kongres DAP Kebangsaan Ke-18 di Shah Alam, hari ini.
Chia Zhen berkata, perubahan itu menunjukkan pendirian DAP yang semakin matang, namun berbeza daripada sikap mereka sebelum ini yang lantang menentang pemimpin politik menerima anugerah kebesaran.
“Bukan itu sahaja, dahulu pemimpin Gerakan hanya memakai songkok sudah dianggap salah di mata DAP, malah dikecam seolah-olah ia satu pengkhianatan. Tetapi hari ini, pemimpin DAP sendiri dengan selesa mengenakan songkok tanpa sebarang kontroversi.
“Ini membuktikan bahawa elemen budaya dan tradisi yang dahulunya mereka pertikai kini boleh diterima dengan baik, satu perkembangan yang patut diraikan,” katanya.
Walau wgaimanapun, Chia Zhen menegaskan bahawa perubahan yang bersifat pragmatik harus dilakukan atas dasar prinsip, bukan semata-mata kerana keperluan politik semasa.
“Persoalan yang timbul ialah sejauh mana DAP benar-benar berpegang kepada prinsip mereka? Jika dahulu mereka menolak sesuatu atas alasan moral dan kini boleh menerimanya tanpa sebarang masalah, apakah jaminan bahawa prinsip lain yang mereka perjuangkan tidak akan berubah mengikut keadaan politik semasa?
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan DAP bahawa perubahan yang mereka lakukan tidak seharusnya terhenti setakat penerimaan budaya dan gelaran sahaja. Yang lebih penting adalah untuk memastikan integriti dan prinsip tetap terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, perubahan pendirian tidak boleh hanya berlaku apabila ia menguntungkan politik semasa dan mengingatkan supaya rasuah tidak menjadi satu kebiasaan yang diterima.
“Tahniah sekali lagi kepada DAP atas perubahan ini. Semoga mereka benar-benar ikhlas dalam menerima realiti politik Malaysia dan tidak sekadar mengubah pendirian demi kepentingan politik semasa,” katanya. – MADANI NEWS