Ambil tindakan tegas banteras kartel bazar Ramadan - MCW | Madani News

Ambil tindakan tegas banteras kartel bazar Ramadan – MCW

Ambil tindakan tegas banteras kartel bazar Ramadan – MCW
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa tindakan tegas diambil bagi membanteras amalan kartel dalam pengurusan bazar Ramadan yang terus berulang setiap tahun tanpa penyelesaian tuntas.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kartel ini bukan sahaja menafikan hak peniaga kecil untuk berniaga secara adil, malah membebankan pengguna dengan harga makanan yang tidak munasabah akibat monopoli sewa tapak yang melampau.

“Setiap Ramadan, kita menyaksikan bagaimana kumpulan tertentu menguasai tapak bazar melalui pelbagai taktik kotor, termasuk pengaruh politik, rasuah dan manipulasi sistem penyewaan.

“Akibatnya, peniaga kecil dipaksa membayar harga sewa berlipat kali ganda atau tersisih sepenuhnya daripada peluang berniaga.

“Lebih membimbangkan, fenomena ini sering kali dibiarkan berlarutan tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jais berkata, MCW menggesa beberapa langkah segera diambil bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengurusan bazar Ramadan.

Antaranya, semua permohonan tapak perlu dilakukan secara dalam talian dengan pemilihan berdasarkan merit, bukannya hubungan politik atau kenalan rapat.

Senarai penerima lesen juga harus diumumkan secara terbuka bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

MCW turut menggesa PBT memperketatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti penyewaan semula tapak oleh pihak ketiga.

Jika terdapat individu atau syarikat yang menyewakan semula tapak dengan harga tinggi, lesen mereka harus dibatalkan serta-merta.

Selain itu, kerajaan disaran menetapkan kadar maksimum sewa tapak bazar Ramadan bagi mengelakkan eksploitasi terhadap peniaga kecil.

Jais menambah, Akta Persaingan 2010 dan undang-undang berkaitan mesti dikuatkuasakan bagi menghukum pihak yang terbukti terlibat dalam amalan monopoli dan rasuah.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan media, NGO serta agensi berkaitan dalam meningkatkan kesedaran dan menekan pihak berkuasa untuk bertindak tegas terhadap isu ini.

“MCW menegaskan bahawa membiarkan kartel terus bermaharajalela di bazar Ramadan adalah satu pengkhianatan terhadap semangat keadilan dan integriti.

“Kami menyeru semua pihak, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri dan PBT untuk mengambil langkah berani membasmi kartel ini,” katanya.

Jais berkata, rakyat Malaysia berhak menikmati bazar Ramadan yang bebas daripada manipulasi dan penindasan, manakala peniaga kecil pula berhak berniaga secara adil tanpa perlu tunduk kepada kerakusan pihak tertentu.

“MCW tidak akan berdiam diri dan akan terus menekan pihak berkuasa untuk bertindak terhadap mereka yang mengkhianati kepercayaan rakyat,” tegasnya. – MADANI NEWS