‘Tiada sebarang kenyataan malam ini, tunggu keputusan rasmi’ – PN dijangka tewas semua kerusi
JOHOR BAHRU: PAS tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan atau kenyataan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada malam ini.
Ketua Penerangan PAS Johor, Mohd Firdaus Jaffar, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan ketetapan pimpinan parti.
“Tiada sebarang ulasan atau kenyataan akan dikeluarkan pada malam ini. Semua pihak dimohon untuk menunggu sehingga keputusan rasmi dan penuh diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media atas kehadiran, kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang membuat liputan di pusat operasi berkenaan.
Terdahulu, PN didakwa tewas di semua kerusi ditandingi termasuk gagal mempertahan kerusi DUN Bukit Kepong, Maharani dan Endau yang dimenangi pada PRN 2022 lalu, memetik laporan BH Online.
Ia berdasarkan kiraan yang hampir selesai di semua saluran mengundi di kerusi DUN berkenaan setakat jam 8.50 malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, PAS Johor mempertaruhkan sembilan muka baharu daripada keseluruhan 11 calon yang akan bertanding pada PRN Johor kali ini.
Dua daripada calon yang diketengahkan pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini, namun masing-masing ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berbeza kali ini.
Sebelas calon PAS yang bertanding ialah Saifullah Abdul Wahab (DUN Jementah), Normala Sudirman (DUN Tenang), Arshed Yahya @ Awang (DUN Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (DUN Maharani), Muhammad Amin Sailan (DUN Sungai Balang), Halim Kepol (DUN Semerah), Ahmad Rosdi Baharu (DUN Seri Medan), Hasnol Hakim Hussein (DUN Endau), Yuhanita Yunan (DUN Pasir Raja), Khirul Mutanazar Ismail (DUN Tiram) dan Mazlan Bujang (DUN Kahang). – AGENSI
