‘Yang pasti, Muhyiddin pun bukan calon PM’ – Samsuri
“YANG pasti TSMY (Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga bukan lagi calon PM”.
Demikian kenyataan balas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membidas Muhyiddin berhubung isu calon Perdana Menteri gabungan itu.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas beliau menerima pelbagai pertanyaan berhubung perkara berkenaan.
“Saya terima banyak pertanyaan (daripada) wartawan mengenai kenyataan Muhyiddin yang ‘Dr Sam adalah Pengerusi PN, bukannya calon PM’.
“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuh PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud beliau ialah calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dipetik berkata, soal mengenai calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN dibuat selepas PAS bertegas mahukannya.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, Majlis Tertinggi PN akur dan melihat keputusan terbabit mungkin kerana ingin memberi ruang dan peluang kepada pemimpin serta tokoh muda.
“Saya baca banyak perbincangan, debat pro kontra, boleh tak boleh, layak tak layak. Ini adalah lantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, bukan calon Perdana Menteri. Ini Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) ada sebutkan, saya ‘quote’ dia.
“Dia kata, ini untuk Pengerusi PN yang menguruskan parti tetapi jika ingin naik satu langkah lebih tinggi untuk menjadi calon jawatan Perdana Menteri, ia adalah perkara lain dan tidak dibincangkan lagi,” katanya.
