Sanusi calon Pengerusi PN? Ketua Dewan Ulama PAS nyata sokongan terbuka
NAMA Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor semakin kuat diperkatakan sebagai calon pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) apabila Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Saad @ Yahaya, secara terbuka menyatakan persetujuan sekiranya menteri besar Kedah itu dicalonkan bagi jawatan berkenaan.
Ahmad mendakwa cadangan tersebut datang daripada pelbagai pihak dalam gabungan, sekali gus menggambarkan wujudnya momentum baharu dalam PN susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu.
“Ramai mencadangkan Sanusi sebagai pengerusi PN dan saya bersetuju,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ketika dihubungi, Ahmad menjelaskan sokongan itu dibuat atas beberapa pertimbangan strategik, termasuk faktor penerimaan rakyat dan keupayaan Sanusi membaca landskap politik semasa.
“Sanusi digeruni lawan, memahami realiti politik negara, mudah didekati dan diterima pelbagai lapisan masyarakat. Yang penting, beliau berupaya menarik sokongan pengundi muda, yang bakal menjadi penentu dalam PRU16,” katanya.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah melihat faktor kepimpinan dan karisma Sanusi sebagai aset penting PN dalam usaha memperkukuh gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, PAS setakat ini belum memuktamadkan sebarang pencalonan rasmi. Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, dan Ketua Wanita PAS, Nuridah Salleh, sebelum ini menegaskan keputusan berhubung jawatan pengerusi PN masih belum dibuat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pula memaklumkan isu pelantikan pengerusi PN akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa hari ini, susulan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Perkembangan ini dilihat membuka bab baharu dalam landskap kepimpinan PN, dengan tumpuan kini terarah sama ada Sanusi Nor bakal muncul sebagai figura penyatu atau pencetus dinamika baharu dalam gabungan itu. – MADANI NEWS
