Nurul tegur Akmal: Keputusan UMNO ‘kekal atau keluar kerajaan’ bukan ditentukan satu sayap
KUALA LUMPUR: Exco Wanita UMNO, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid, tampil menegur kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mendesak supaya parti itu menentukan sama ada mahu kekal atau keluar daripada kerajaan Madani serta menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Nurul Hidayah menegaskan, walaupun bersuara dan meluahkan kegelisahan adalah hak ahli, menggambarkan UMNO seolah-olah berada di persimpangan “kekal atau keluar” secara terbuka bukan budaya kepimpinan parti.
“Bersuara itu hak, gelisah itu normal, tetapi membawa naratif seolah-olah Umno berada dalam dilema ‘kekal atau keluar’ secara terbuka bukan cara kepimpinan UMNO,” katanya dalam satu hantaran, merujuk kepada gesaan Akmal yang mengumumkan penganjuran konvensyen khas Pemuda UMNO pada 3 Januari ini.
Menurut Nurul Hidayah, usaha Akmal memimpin perbincangan mengenai hala tuju parti, khususnya kedudukan UMNO dalam kerajaan, boleh difahami. Namun beliau mengingatkan bahawa keputusan strategik parti tidak boleh ditentukan oleh satu sayap semata-mata.
“Naratif ‘kekal atau keluar, kita yang tentukan’ adalah kenyataan yang sangat berat. Ia bukan sekadar perbincangan dasar, tetapi memberi isyarat seolah-olah keputusan besar parti boleh dibuat melalui tekanan emosi dan mobilisasi segera,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan membawa isu hala tuju parti ke ruang awam dengan nada ultimatum hanya membuka ruang persepsi bahawa UMNO sedang berpecah dari dalam, sekali gus melemahkan kepimpinan tertinggi dan memberi kelebihan kepada lawan politik.
“Keberanian bersuara mesti disertai kebijaksanaan menjaga maruah parti,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, Nurul Hidayah menggesa agar konvensyen Pemuda UMNO yang bakal diadakan menjadi medan perbahasan berasaskan hujah dan adab, bukan didorong emosi atau populariti.
“Umno bukan milik satu generasi, satu sayap atau individu paling lantang. Ia adalah amanah perjuangan panjang yang memerlukan kesabaran dan kesetiaan kepada struktur parti,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tetap mengucapkan tahniah kepada Akmal atas penganjuran konvensyen tersebut, sambil menyifatkan platform perbincangan dalaman lebih wajar berbanding tekanan melalui ruang awam.
Terdahulu, Akmal mendesak kepimpinan Pemuda UMNO menentukan sama ada parti itu perlu kekal dalam kerajaan Madani atau keluar, selain menyokong usaha menghidupkan semula MN bersama PAS. Gesaan itu turut menerima sokongan daripada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, namun disambut dengan pandangan berhati-hati oleh beberapa pimpinan Umno lain.
Muafakat Nasional yang dibentuk Umno dan PAS pada 2019 akhirnya berakhir pada Disember 2022 selepas Umno menyokong pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
