“FIFA salah tafsir undang-undangnya sendiri, pemain tidak pernah palsu dokumen” – Tunku Ismail
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan keputusan FIFA menolak rayuan hukuman ke atas tujuh pemain warisan Malaysia sebagai satu salah tafsir terhadap undang-undang yang jelas termaktub dalam peraturan badan itu sendiri.
Menurut Tunku Ismail, Artikel 22 dalam Kod Tatatertib FIFA secara terang menyatakan bahawa tindakan disiplin hanya boleh diambil terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu.
Namun dalam kes ini, pemain-pemain terbabit tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan dokumen, sekali gus menjadikan keputusan FIFA itu tidak selaras dengan peruntukan undang-undang yang sah.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain,” titah baginda.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.”
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS — sebuah badan bebas,” tulis baginda lagi.
Kenyataan Tunku Ismail itu hadir susulan keputusan FIFA pada 26 September 2025 yang mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 7 pemain warisan negara. Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA melalui Jawatankuasa Disiplin menjatuhkan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain menggantung ketujuh-tujuh pemain itu daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. Setiap pemain turut dikenakan denda CHF 2,000.
FAM kemudiannya memfailkan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA pada pertengahan Oktober. Namun pada 3 November, FIFA menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keseluruhan hukuman asal. Dalam masa yang sama, FAM turut menggantung Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman, bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman berhubung proses pendaftaran pemain-pemain berkenaan.
Kes ini menarik perhatian ramai apabila FIFA mendakwa berlaku pelanggaran terhadap Artikel 22 Kod Tatatertib berhubung penggunaan dokumen tidak sah ketika proses pendaftaran. Namun, pihak FAM menegaskan bahawa semua dokumen kewarganegaraan dan kelayakan pemain telah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum digunakan dalam perlawanan antarabangsa.
Bagi Tunku Ismail, tumpuan kini bukan sekadar untuk membela nasib tujuh pemain terbabit, tetapi juga bagi menegakkan keadilan dan menjaga maruah bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa. Baginda menegaskan bahawa prinsip undang-undang mesti ditegakkan tanpa sebarang pengaruh luar dan keputusan yang adil hanya akan dapat dicapai melalui proses timbang tara yang bebas
