Tujuh mangsa, termasuk seorang kanak-kanak maut dalam tragedi tanah runtuh di Sabah

TRAGEDI tanah runtuh yang meragut tujuh nyawa di Kampung Cenderakasih, Kolombong, semalam membuka mata banyak pihak bahawa isu penempatan di kawasan berisiko masih menjadi dilema berulang di Sabah.
Dalam insiden menyayat hati itu, operasi menyelamat selama hampir tujuh jam berjaya mengeluarkan kesemua 11 mangsa, dengan tujuh daripadanya disahkan maut, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an dan seorang kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam.
“Keseluruhan mangsa terlibat ialah 11 orang. Empat mangsa selamat, termasuk seorang cedera patah kaki. Selebihnya, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 3.45 petang,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini, lapor Astwo Awani
Selain cabaran operasi, pihak berkuasa turut berdepan kebimbangan runtuhan susulan sekiranya hujan lebat berterusan. Justeru, kawasan kejadian ditutup sementara untuk siasatan dan keselamatan, manakala pemindahan penduduk di zon berisiko akan dilakukan selewat-lewatnya pagi esok.
Beliau berkata proses mengeluarkan mangsa terakhir mengambil masa lebih lama kerana mangsa tertimbus lebih dalam di bawah runtuhan rumah dan timbunan sampah.
“Operasi bermula sekitar 10.30 pagi dan tamat jam 3.45 petang. Kawasan runtuhan ini curam, dipenuhi tanah dan sampah dianggarkan seberat 20 hingga 30 tan. Kami juga bimbang berlaku runtuhan susulan jika cuaca buruk,” jelasnya.
Kasim turut memaklumkan kawasan kejadian ditutup sementara bagi siasatan dan keselamatan.
Pemindahan penduduk di kawasan berisiko akan dilakukan selewat-lewatnya pagi esok.
Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, cerun curam, atau berhampiran pokok besar supaya segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.
“Kita tidak mahu kehilangan nyawa lagi seperti yang berlaku hari ini. Dengar nasihat pihak berkuasa untuk keselamatan semua,” tambahnya.
Operasi menyelamat melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Unit K9, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semua agensi bersepadu memastikan lokasi selamat dan tiada risiko susulan sebelum menamatkan operasi. – MADANI NEWS