MCW gesa audit menyeluruh kontrak perkhidmatan pengangkutan universiti awam | Madani News

MCW gesa audit menyeluruh kontrak perkhidmatan pengangkutan universiti awam

MCW gesa audit menyeluruh kontrak perkhidmatan pengangkutan universiti awam
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa agar audit menyeluruh dilaksanakan terhadap semua kontrak perkhidmatan pengangkutan yang berjalan di universiti awam.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, audit itu merangkumi penilaian latar belakang syarikat, rekod keselamatan, kelayakan pemandu, serta proses rundingan dan penganugerahan kontrak.

“MCW menekankan bahawa keselamatan mahasiswa tidak boleh dikompromi atas dasar hubungan dalaman atau kepentingan individu tertentu.

“Kehidupan seorang pelajar telah terkorban dan ia seharusnya menjadi titik perubahan untuk menilai semula amalan sedia ada, memperbaiki sistem pemantauan, serta menjamin integriti dan profesionalisme dalam pentadbiran universiti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden seorang pelajar wanita Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM, semalam.

Mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang mengalami kecederaan pada bahagian badan disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurut polis, kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu berlaku apabila pemandu bas lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di hadapan perhentian bas untuk mengambil penumpang sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bas yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

Jais berkata, kejadian itu mencetuskan persoalan serius berhubung aspek keselamatan pelajar dan integriti dalam sistem pengurusan kontrak perkhidmatan.

Menurut beliau, MCW menerima maklumat dalaman daripada warga kampus sendiri, termasuk mahasiswa, yang menyuarakan kebimbangan mengenai sikap sambil lewa syarikat luar yang dilantik sebagai penyedia perkhidmatan bas.

“Antara aduan yang tular termasuk rakaman video yang menunjukkan pemanduan secara merbahaya dan tidak berhemah, yang jelas membahayakan nyawa pelajar,” jelasnya.

Jais menambah, MCW menegaskan bahawa perkara itu perlu dipandang serius oleh pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Universiti bukan hanya tempat menyemai ilmu, tetapi juga institusi yang wajib menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar,” katanya. – MADANI NEWS