KDN mula siasatan terhadap Sin Chew Daily

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan terhadap akhbar Sin Chew Daily berhubung nsiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, simbol bulan sabit bukan sekadar rekaan grafik malah ia membawa makna besar sebagai lambang Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, kecuaian itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah turut berisiko menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“KDN telah memulakan siasatan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Akta 414) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Akta 301). Pihak Sin Chew Daily juga telah dipanggil dan diberi Surat Tunjuk Sebab.
“Sebagai penjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan simbol kedaulatan dan perpaduan negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Akhbar Sin Chew Daily telah meminta maaf atas kekhilafan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depannya semalam dan menjelaskan bahawa perkara itu berlaku atas kesilapan teknikal.
Sementara itu, KDN dalam kenyataan media hari ini menyatakan, tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.
“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” jelasnya. – MADANI NEWS