Ratusan tan pembaziran makanan pada bulan Ramadan

Oleh AHMAD ABDUL HAMID
BULAN Ramadan sepatutnya bulan jimat cermat berbelanja serta mengawal nafsu makan minum. Keutamaan harus ditumpukan kepada beramal ibadat, mengabdikan diri kepada Allah dan memohon keberkatan, pengampunan serta keredaanNya.
Tetapi sebaliknya bulan mulia ini jadi bulan berbelanja lebih. Perbelanjaan makan minum berbuka puasa, baik membeli juadah atau berbuka di restoran atau hotel, meningkat daripada biasa. Pembaziran makanan pada bulan Ramadan juga meningkat dengan ketara.
Waktu berbuka puasa dijadikan sesi balas dendam menjamu selera, kononnya kerana sepanjang siang hari berlapar dahaga. Berbelanja pun tanpa berkira. Maka berlakulah pembelian pelbagai jenis makanan dan minuman di bazar Ramadan untuk juadah berbuka.
Gejala ‘lapar mata’ menyebabkan ramai seolah-olah mahu memborong semua makanan dijual. Nampak sahaja mahu dibawa balik. Pada waktu siang ketika perut lapar memanglah semua hendak dirasa. Tetapi berapa banyak sangat yang boleh diterima oleh perut?
Kerana itu, pada waktu berbuka, bukan semua yang dibeli mampu dihabiskan. Malah ada yang tidak dijamah langsung. Yang boleh disimpan akan disimpan. Pokoknya, berapa lama hendak disimpan jika setiap hari memborong dalam kuantiti yang banyak?
Akibatnya makanan yang tidak habis akan berakhir di dalam tong sampah. Membazir wang, membazir makanan. Situasi ini berlaku pada Ramadan setiap tahun, jelas membuktikan bulan penjimatan bertukar jadi bulan pembaziran.
Isu ini tidak harus dipandang ringan. Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),sebanyak 90,000 tan makanan dibazir dan dibuang di seluruh negara pada bulan Ramadan 2023.
Angka ini berdasar kajian pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.
Menurut statistik Perbadanan Sisa Pepejal (SWCorp) pula, pada hari-hari biasa bukan Ramadan, purata sisa makanan di seluruh negara ialah 16,720 tan setiap hari. Ini bermakna dalam sebulan jumlah sisa ialah 501,600 tan.
Namun angka ini meningkat pada bulan Ramadan. Setiap hari sisa makanan ialah 19,228 tan, tambahan 2,508 tan berbanding hari-hari pada bulan lain, atau pertambahan 75,240 tan sepanjang Ramadan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan sisa makanan di bulan Ramadan ialah 576,840 tan berbanding purata 501,600 tan pada bulan lain.
Berdasar statistik tersebut, dapat dilihat banyaknya tambahan sisa makanan pada bulan Ramadan. Ini menggambarkan pembaziran berlaku dengan berleluasa pada bulan di mana umat Islam dituntut berjimat cermat dan tidak membazir.
Bermula dari sumber pembaziran berskop kecil iaitu rumah, hinggalah kepada pembaziran pada skala lebih besar seperti restoran, hotel atau tempat menjamu selera lain, semua menyumbang kepada pembaziran.
Bayangkan berapa banyak unit kediaman orang Islam yang berpuasa. Jika setiap rumah membazir sedikit pun, secara kolektif jumlah pembaziran setiap hari adalah besar.
Begitu juga dengan restoran atau hotel, terutama yang menawarkan bufet berbuka puasa. Ramai yang bersikap tamak mengambil lebih daripada yang diperlukan atau yang mampu dimakan. Maklum bayar sekali semua boleh makan.
Akibatnya berbondong-bondong makanan dan minuman pelbagai jenis diusung ke meja. Ada yang dijamah habis, ada dijamah sedikit sekadar mengambil rasa, ada yang dibiar tidak disentuh. Ke mana akhirnya? Tong sampah!
Dengan ratusan restoran dan hotel menawarkan bufet, serta sikap tamak pengunjung, sudah pasti sisa buangan bertimbun. Ini belum termasuk peniaga bazar Ramadan yang mungkin melupuskan barang niaga yang tidak dijual.
Umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada pembaziran ini untuk mendidik diri agar berjimat dan berbelanja secara sederhana pada bulan Ramadan. Berbelanja menurut keperluan, usah berlebihan, elak membazir.
Sementara ramai daripada kita tidak segan silu membazir, ingatlah di luar sana ramai yang tidak ada makanan atau tidak cukup makanan. Jadikan derita yang mereka lalui untuk mendidik diri agar insaf dan sentiasa bersyukur dengan rezeki diberi Allah.
– MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews
.