Pemilik kafe tertekan! Sudah lah cukai dan gaji minimum naik, harga biji kopi pula tertinggi dalam sejarah | Madani News

Pemilik kafe tertekan! Sudah lah cukai dan gaji minimum naik, harga biji kopi pula tertinggi dalam sejarah

Pemilik kafe tertekan! Sudah lah cukai dan gaji minimum naik, harga biji kopi pula tertinggi dalam sejarah

PERTUMBUHAN kafe atau kedai kopi premium sangat pantas di negara ini berikutan perubahan gaya hidup masyarakat yang kini sanggup berbelanja lebih untuk menikmati sajian kopi terbaik bersama rakan-rakan.

Kemunculannya kedai kopi francais seperti cendawan tumbuh selepas hujan, terutama jenama tempatan yang menjadi pilihan selepas rakyat Malaysia melancarkan kempen boikot jenama luar negara yang mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat atau Israel.

Bagaimanapun, pemilik kafe di Malaysia yang mengimport biji kopi dan menjual kopi istimewa kini berdepan dengan cabaran untuk memikirkan semula strategi penetapan harga mereka berikutan harga biji kopi mencecah paras tertinggi dalam sejarah dan juga kenaikan cukai serta gaji minimum pekerja.

Kos biji kopi, terutamanya daripada pembekal utama Brazil dan Vietnam, dijangka terus meningkat pada 2025 disebabkan keadaan cuaca buruk dan kekurangan bekalan yang didorong oleh permintaan global yang tinggi.

Brazil, pengeksport kopi Arabica terbesar di dunia, mengalami satu daripada kemarau terburuk dalam sejarah, diikuti fros dan haba melampau, telah mengurangkan hasil tanaman dengan ketara.

Vietnam, pengeluar utama biji kopi Robusta, menghadapi kesukaran akibat kemarau berpanjangan dan hujan yang lebih lebat daripada biasa.

Harga biji kopi Arabica mencecah hampir US$3.50 satu paun pada Disember 2024, mencatatkan paras tertinggi sejak 1977, dengan kenaikan yang mengejutkan sebanyak 83 peratus pada 2024.

Biji kopi Robusta, yang kebanyakannya digunakan dalam kopi segera, turut mengalami lonjakan harga mendadak, meningkat sebanyak 73 peratus kepada US$5,885 satu tan pada November 2024 disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Bernama telah menemu bual tiga pemilik kafe di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Hijjaz Suhaimi, 24, pemilik Rendevu Coffee di Wangsa Maju berkata dengan harga biji kopi mentah yang melambung tinggi, perniagaan kini berdepan dengan keputusan yang sukar.

“Bagaimanapun, selagi perniagaan mengekalkan penjenamaan yang kukuh dan menyesuaikan dengan trend budaya, permintaan akan berterusan, walaupun dengan harga yang tinggi,” katanya.

Kafe Hijjaz mengimport biji kopi mentah dari Guatemala, Ethiopia, Brazil dan Mexico, memberi tumpuan kepada keseimbangan badan dan keasidan untuk menarik pelanggan yang menggemari aroma buah-buahan tanpa rasa yang terlalu berasid.

Bagi mengimbangi kenaikan kos membeli kopi panggang — sehingga RM100 sekilogram — Hijjaz berkata memanggang biji kopi mereka sendiri adalah penyelesaian yang lebih menjimatkan.

“Dengan memanggang biji kopi mentah sendiri, kami dapat menghasilkan kuantiti yang sama dengan hanya RM40,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran, Hijjaz tetap optimis dan percaya bahawa “pengambilan kopi lebih daripada sekadar minuman, ia adalah gaya hidup”.

Pemilik Kampung Brew, Che Wan Sufian Che Wan Abdullah, 37, menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan harga biji kopi global, yang boleh mencecah sehingga 25 peratus, membimbangkan pemilik kedai kopi tempatan.

“Kami belum menerima sebarang notis rasmi daripada pembekal tetapi kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan serta pelarasan gaji minimum baru-baru ini telah meningkatkan kos barangan seperti kopi, koko dan susu.

“Jika harga biji kopi naik, kebanyakan kafe terpaksa menaikkan harga mereka,” katanya kepada Bernama di premis yang terletak di Ampang barubaru ini.

Ellina Amin, 37, pemilik Whatever Works Coffee di Kampung Datuk Keramat berkata perniagaannya akan mengekalkan tawaran minumannya seperti biasa, buat masa ini.

Beliau berkata harga biji kopi semasa menawarkan fleksibiliti yang mencukupi untuk disesuaikan tanpa kenaikan mendadak.

Mendapatkan biji kopi dari Ethiopia, Brazil dan Colombia serta pemanggang tempatan di Pulau Pinang, membolehkan beliau menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan, termasuk biji kopi premium.

Bagaimanapun, apabila harga biji kopi terus meningkat, pemilik kafe dan pengguna mungkin sependapat bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk industri kopi Malaysia mencapai pengiktirafan yang lebih tinggi sebagai pengeluar kopi gred istimewa.

Ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada biji kopi import dan memperkukuh pasaran kopi tempatan. Pemilik kafe perlu mempertimbangkan semula strategi penetapan harga dan kaedah pengeluaran mereka memandangkan kos bahan mentah dijangka meningkat dengan ketara.

Mereka boleh memilih sama ada memindahkan kos ini kepada pelanggan melalui harga yang lebih tinggi atau mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan overhed. – MADANINEWS