Vape perosak negara! Merosakkan penghisap, sumber penyeludupan dan rasuah | Madani News

Vape perosak negara! Merosakkan penghisap, sumber penyeludupan dan rasuah

Vape perosak negara! Merosakkan penghisap, sumber penyeludupan dan rasuah

UMUM mengetahui vape atau rokok elektronik memberi kesan sangat buruk kepada pengamalnya. Kesannya didapati lebih teruk berbanding kesan rokok kerana banyak kes penghisap vape dilaporkan terpaksa dikejarkan ke hospital walaupun baru setahun dua menghisapnya.

Kini satu lagi keburukan dibawa oleh industri vape. Menjadi sumber pemberi rasuah kepada penguat kuasa untuk menyeludup atau melepaskan barangan import mereka dari diperiksa dengan teliti ketika memasuki negara ini, terutama di lapangan terbang.

Kira-kira RM4,000 hingga RM6,000 wang rasuah bertukar tangan setiap hari disyaki dibayar sindiket kepada pegawai penguat kuasa untuk melepaskan lori seludup vape di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA, kata Tan Sri Azam Baki.

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, jumlah rasuah itu bergantung kepada jenis lori dilepaskan iaitu RM150 bagi lori satu tan, lori tiga tan (RM300), lori lima tan (RM500), manakala bayaran RM750 dikenakan untuk kenderaan lima tan ke atas.

“Kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA ialah kira-kira 20 buah lori sehari, dengan anggaran nilai rasuah yang diberikan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari,” katanya menurut Bernama.

Azam berkata, SPRM percaya sindiket terbabit aktif menjalankan aktiviti penyeludupan rokok elektrik itu sejak 2023.

Semalam, media melaporkan 14 individu termasuk enam pegawai kastam ditahan dalam Op Airways sekitar KLIA dan Putrajaya, kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan vape.

Siasatan selama tiga bulan mendedahkan vape itu tidak diikrarkan dan tidak mempunyai dokumen sah, sekali gus menyerupai modus operandi ‘kontena terbang’.

Semua suspek ditahan kini direman antara empat hingga lima hari bagi membantu siasatan, kecuali seorang pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Azam berkata pada serbuan tersebut, rampasan dan sitaan vape telah dibuat selain komputer, telefon bimbit, barangan berjenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,954,459.

“Buat masa ini, siasatan baru sahaja bermula dan masih dalam tindakan untuk mengenal pasti suspek lain serta penglibatan mereka dalam aktiviti sindiket penyeludupan tersebut,” katanya. – Madani News