All England 2026: Aaron-Wooi Yik muncul naib juara, bawa pulang RM200,000
IMPIAN beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, untuk menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia dalam acara beregu lelaki di Kejohanan All England akhirnya tidak kesampaian apabila tewas di pentas final edisi 2026.
Gandingan ranking kedua dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Korea Selatan, Seo Seung-jae–Kim Won-ho, yang muncul juara selepas memenangi perlawanan sengit tiga set.
Final kali ini merupakan percubaan ketiga Aaron-Wooi Yik untuk merangkul gelaran berprestij tersebut, sekali gus mengakhiri penantian Malaysia selama 19 tahun sejak kali terakhir dimenangi oleh Koo Kien Keat–Tan Boon Heong pada 2007.
Dalam aksi penuh dramatik itu, Aaron-Wooi Yik mempamerkan permulaan cemerlang apabila bangkit daripada kedudukan ketinggalan sebelum menguasai set pertama 21-18.
Namun pasangan Korea Selatan itu menukar rentak permainan pada set kedua dan berjaya mendominasi perlawanan untuk menang selesa 21-12, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung cukup mendebarkan apabila Aaron-Wooi Yik mendahului 8-3, tetapi tekanan berterusan daripada Seung-jae–Won-ho menyaksikan mereka kembali menyamakan kedudukan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 21-19.
Kekalahan ini juga bermakna Aaron-Wooi Yik masih gagal menewaskan pasangan Korea Selatan tersebut sejak kali terakhir menewaskan mereka di final Singapore Open pada Jun 2025.
Walaupun terlepas peluang meraih gelaran bersejarah, Aaron-Wooi Yik tetap membawa pulang naib juara bersama hadiah wang tunai AS$50,750 (sekitar RM200,000). – MADANI NEWS
