TEHRAN BERGEGAR: Israel–AS lancar serangan mengejut, Khamenei dipindahkan ke lokasi rahsia
TEHRAN: Rantau Asia Barat kembali di ambang perang terbuka apabila Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama Amerika Syarikat melancarkan serangan mengejut ke atas Iran hari ini.
Beberapa letupan kuat dilaporkan menggegarkan sekitar ibu kota, Tehran, mencetuskan kepulan asap tebal yang menyelubungi bahagian tengah dan timur bandar raya itu. Situasi tegang memaksa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan segera ke lokasi rahsia atas faktor keselamatan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, IDF mengeluarkan amaran nasional kepada seluruh rakyat Israel supaya berada di kawasan perlindungan, menjangkakan kemungkinan serangan balas peluru berpandu daripada Tehran.
“Ini adalah amaran proaktif bagi menyediakan orang awam terhadap kemungkinan pelancaran peluru berpandu ke arah Israel,” menurut kenyataan rasmi IDF.
Sumber keselamatan memaklumkan kepada portal Israel bahawa Washington terbabit secara langsung dalam operasi tersebut, sekali gus menandakan penglibatan ketenteraan AS yang jelas dalam konflik ini.
Perkembangan dramatik itu hadir ketika pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memberi bayangan akan menggunakan kekerasan sekiranya rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan.
Media Iran melaporkan sasaran utama termasuk Direktorat Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa lokasi strategik di tengah Tehran.
Sebagai tindak balas awal, Iran menutup sepenuhnya ruang udara negara itu kepada semua penerbangan awam, manakala Israel turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan.
Seorang pegawai keselamatan Israel mendedahkan operasi tersebut telah dirancang selama berbulan-bulan, dengan masa pelaksanaan ditetapkan sejak beberapa minggu lalu. Objektif utama dikatakan bagi melumpuhkan ancaman terhadap benteng domestik Israel, khususnya tapak pelancaran peluru berpandu dan pangkalan pesawat tanpa pemandu (UAV).
Setakat ini, belum ada laporan peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke wilayah Israel. Namun, pegawai keselamatan memberi amaran bahawa serangan balas dijangka boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam.
Rantau Asia Barat kini berada pada tahap amaran tertinggi, dengan penutupan ruang udara bukan sahaja di Iran dan Israel, malah melibatkan beberapa negara jiran yang bersiap siaga menghadapi kemungkinan konflik berskala lebih besar. – AGENSI
