Ganti rugi saman KJ terhadap Ustaz Abu Syafiq dikurangkan dari RM2.5 juta kepada RM830,000
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang diperoleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 dalam kes saman fitnah terhadap pendakwah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau Ustaz Abu Syafiq.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Mohd Rasyiq dengan menurunkan ganti rugi am daripada RM2 juta kepada RM500,000. Mahkamah bagaimanapun mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dan mengurangkan ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000.
Mahkamah menyatakan era pemberian ganti rugi jutaan ringgit dalam kes fitnah sudah berakhir dan tidak wajar diteruskan, menegaskan pampasan dalam kes sedemikian bertujuan memberi keadilan kepada pihak terjejas, bukannya keuntungan luar biasa, lapor BH Online.
Khairy, 50, memenangi saman itu pada 18 April tahun lalu selepas mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya menerusi kenyataan berkaitan vaksin COVID-19 yang dimuat naik di media sosial empat tahun lalu.
Dalam penghakiman, mahkamah bersetuju kenyataan fitnah itu serius kerana membayangkan ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap Khairy yang ketika itu Menteri Kesihatan.
Panel turut mengiktiraf terdapat lapan penerbitan berasingan dan setiap satu boleh diambil tindakan tersendiri. Namun dalam menentukan jumlah pampasan, faktor kesaksamaan dan trend kehakiman semasa perlu diambil kira.
“Ganti rugi dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan memperkayakan. Jumlah keseluruhan RM2.5 juta tidak selaras dengan trend kehakiman semasa,” kata Mohamed Zaini.
Mahkamah juga menegaskan fitnah berkenaan bukan sahaja merosakkan reputasi Khairy, malah berpotensi menjejaskan kepentingan awam kerana kenyataan itu boleh mempengaruhi orang ramai daripada menerima vaksin.
Panel mendapati pembelaan justifikasi oleh perayu gagal dan permohonan maaf yang dikemukakan tidak menunjukkan penyesalan sebenar, sekali gus mewajarkan ganti rugi teruk dikekalkan.
Mengenai ganti rugi teladan, mahkamah menegaskan ia bersifat menghukum dan hanya diberikan dalam keadaan luar biasa. Namun, mahkamah mengambil kira perubahan landskap fitnah akibat kemunculan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram yang mempercepat penyebaran maklumat.
Mahkamah turut menekankan bahawa seorang pendakwah agama tertakluk kepada tahap tanggungjawab yang lebih tinggi kerana masyarakat cenderung mempercayai kenyataan yang dibuat berdasarkan autoriti moral dan keagamaan.
Pada 25 Januari 2022, Khairy memfailkan saman terhadap Mohd Rasyiq berhubung tiga video dan gambar yang dimuat naik di akaun Instagram “Ustaz Abu Syafiq” pada 20 Oktober 2021 serta 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa beliau berbohong tentang status vaksinasi COVID-19, termasuk menerima dos ketiga dan memalsukan maklumat berkaitan.
Dalam penghakiman terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan berkenaan mengaitkan kelakuan tidak bermaruah dan menjejaskan integriti plaintif. – MADANI NEWS
