PAS sahkan terajui PN, Hadi Awang tolak pencalonan diri kerana uzur
PAS mengesahkan parti itu akan mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan berkenaan, berkuat kuasa semalam.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan bagi menentukan calon pengerusi PN yang baharu akan diadakan dalam satu mesyuarat minggu depan, yang dijangka melibatkan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang mesyuarat atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, PAS mempunyai ramai tokoh berkaliber untuk diketengahkan bagi menerajui PN, termasuk dalam kalangan agamawan dan teknokrat, namun beliau enggan mendedahkan sebarang nama buat masa ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi secara terbuka menolak sebarang kemungkinan beliau sendiri akan dilantik sebagai Pengerusi PN, meskipun terdapat cadangan daripada beberapa pihak agar beliau memimpin gabungan tersebut.
“(Saya) dalam keuzuran,” katanya ringkas, merujuk kepada keadaan kesihatannya, lapor Bernama.
Peletakan jawatan Muhyiddin membuka lembaran baharu dalam kepimpinan PN, dengan pengesahan PAS sebagai parti peneraju dijangka membawa perubahan penting terhadap hala tuju gabungan pembangkang itu menjelang perkembangan politik seterusnya.
— MADANI NEWS
