Kecederaan: Arif Aiman dijangka berehat panjang, Munoz akui JDT kehilangan besar
PENYANDANG juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan khidmat pemain sayap utama mereka, Arif Aiman Hanapi, dalam tempoh terdekat susulan kecederaan hamstring yang dialami pemain berkenaan.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengakui situasi itu memberi kesan besar kepada pasukan apabila kehilangan pemain yang disifatkannya sebagai antara terbaik dalam skuad Harimau Selatan.
Menurut Munoz, Arif Aiman tidak akan kembali beraksi dalam masa terdekat dan fokus utama ketika ini adalah memastikan proses pemulihan pemain muda itu berjalan dengan sempurna.
“Dia tidak akan kembali dalam masa terdekat, namun kami perlu bertenang. Paling penting sekarang ialah proses pemulihan dan memberinya masa mencukupi untuk kembali ke tahap terbaik,” katanya.
Munoz turut menyifatkan Arif Aiman sebagai pemain muda terbaik di Asia dan kehilangan tonggak seperti itu merupakan satu cabaran besar buat mana-mana pasukan.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu ia satu keadaan yang sukar apabila kehilangan pemain seperti Arif. Dia adalah yang terbaik, bukan sahaja dari segi kualiti, tetapi juga karakter dan kesesuaian dengan falsafah permainan JDT.
“Saya tahu dia sedang bekerja keras dan saya yakin dia akan bangkit dengan lebih kuat,” katanya.
Mengulas kemenangan terbaharu pasukan, Munoz berkata kejayaan menewaskan Selangor FC (SFC) 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut didedikasikan khas buat Arif Aiman yang mengikuti perlawanan dari rumah.
“Ia sentiasa satu detik indah apabila Arif memberikan yang terbaik untuk pasukan. Tiga mata malam ini kami dedikasikan untuknya,” katanya.
Kemenangan itu merupakan yang ke-13 berturut-turut buat JDT dalam saingan liga musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan kutipan 39 mata. – MADANI NEWS
