Uqasha dakwa jadi mangsa dera sepanjang 4 tahun berkahwin dengan Kamal Adli
KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrose, 33, mendakwa menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal sepanjang empat tahun usia perkahwinannya dengan Kamal Adli, termasuk ketika sedang sarat mengandung.
Uqasha mendakwa suaminya bersikap baran dan tidak boleh ditegur, sehingga menyebabkan dia hidup dalam ketakutan.
“Selama empat tahun berkahwin, dia dera mental dan emosi saya. Ketika saya mengandung pun dia boleh memukul saya. Dia seorang yang tidak boleh ditegur dan terlalu baran sampai saya jadi takut,” katanya dalam nada sebak sambil mengalirkan air mata.
Uqasha turut mendakwa Kamal tidak bertolak ansur dalam soal penjagaan anak serta mengabaikan kebersihan rumah tangga.
“Dia tidak ada toleransi dalam menjaga anak, soal kebersihan juga tidak dijaga. Rumah jadi seperti orang bujang. Kawan lelaki dia pula kerap keluar masuk rumah hingga saya dan anak tidak ada privasi,” luahnya, memetik laporan BH Online.
Menurut Uqasha, dia memiliki bukti dalam bentuk gambar dan video berhubung dakwaan keganasan itu, namun memilih untuk tidak mendedahkannya demi menjaga aib suami.
“Saya ada semua bukti, gambar dan video. Tetapi saya tak mahu perkara ini jadi besar. Kami sama-sama dikenali, sebab itu saya cuba bertahan,” katanya.
Uqasha mendakwa penderaan berkenaan berlaku berterusan termasuk ditengking, dimaki, ditolak serta dipukul, walaupun selepas mereka dikurniakan cahaya mata.
“Walaupun ada Uqaira, perangainya masih sama. Orang perempuan tidak akan minta cerai kalau tiada sebab. Saya lakukan ini demi kesihatan mental anak saya yang sering melihat saya ditengking sejak kecil,” katanya lagi.
Uqasha turut memaklumkan pernah mengadu kepada keluarga suami, namun hanya diminta bersabar.
Sementara itu, peguam sivil mewakili Uqasha, Asheeq Ali Seth Alivi, mengesahkan anak guamnya telah membuat empat laporan polis berkaitan dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember lalu.
“Tiga laporan dibuat oleh Uqasha sendiri dan satu oleh ibunya. Semua laporan membabitkan dakwaan penderaan fizikal dan emosi,” katanya.
Menurut Asheeq, pihaknya akan meneruskan tindakan lanjut melalui saluran undang-undang termasuk siasatan polis dan prosiding Mahkamah Sivil.
“Kami serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Sekiranya ada pihak yang mendakwa kenyataan Uqasha sebagai fitnah, kami alu-alukan tindakan saman difailkan,” katanya. – MADANI NEWS
