UMPSA Holdings teroka pasaran antarabangsa, meterai kerjasama dtrategik di Dubai dan China
KUANTAN: Dari sebuah bandar kecil di Gambang, UMPSA Holdings Sdn. Bhd. (UMPSAH) membuktikan keupayaannya menembusi pasaran global apabila memeterai dua kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang pengurusan fasiliti pintar dan teknologi dron, sekali gus mengangkat inovasi tempatan ke peringkat antarabangsa.
UMPSAH, anak syarikat komersial Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Chulia Middle East Technical Services LLC pada 18 November lalu di Dubai, melibatkan kerjasama dalam pengurusan fasiliti (FM) pintar dan teknologi bangunan berteraskan inovasi.
Kerjasama itu merangkumi pelaksanaan Building Information Modelling (BIM), penyelesaian bangunan berasaskan Internet of Things (IoT), pengurusan projek, perkhidmatan pembersihan serta penyelesaian teknikal khusus termasuk kawalan kakisan paip air sejuk bagi sistem HVAC berskala besar.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, berkata MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh inovasi dan pertukaran ilmu merentas sempadan.
“Kerjasama ini membuka ruang penciptaan nilai lestari untuk Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSAH, Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris, berkata kolaborasi itu menghubungkan ekosistem penyelidikan universiti dengan industri antarabangsa.
“Bersama rakan strategik, kami berhasrat mengkomersialkan teknologi tempatan dan menterjemahkan inovasi akademik kepada penyelesaian sebenar yang boleh digunapakai industri,” katanya.
Chulia Middle East, anak syarikat kepada Chulia Facilities Management Sdn. Bhd. (Malaysia), kini mengurus lebih 500 kontrak pengurusan fasiliti dengan lebih 700 tenaga kerja mahir dan berpengalaman melaksanakan lebih 30 projek utama di UAE.
Dalam perkembangan berkaitan, UMPSAH turut menandatangani MoU dengan Albatross Tech Pvt. Co. Ltd. dari China bagi menubuhkan Pusat Inkubator Teknologi Ruang Udara Rendah dan Pusat Dron pertama di Pahang.
Pusat berkenaan akan dibangunkan di Agriculture Twin Park seluas 180 ekar di Luit, Maran, dan memberi tumpuan kepada penyelidikan, ujian, pemindahan teknologi serta inovasi bersama dalam sistem dron, kenderaan autonomi, robotik dan teknologi pertanian.
Antara objektif utama kerjasama itu ialah membangunkan dron buatan Malaysia, memperkukuh pembuatan berteknologi tinggi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta meletakkan Malaysia sebagai pemain baharu dalam industri dron global.
Ts. Mohd Fadzil berkata inisiatif tersebut merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat tempatan dan teknologi masa depan.
“Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem dron global di samping mempercepat inovasi merentas sektor seperti pertanian pintar, pemeriksaan infrastruktur, logistik dan pengurusan aset,” katanya.
Kedua-dua kerjasama antarabangsa itu menonjolkan keupayaan UMPSAH menterjemah penyelidikan universiti kepada penyelesaian komersial berimpak tinggi, sekali gus meluaskan jejak Malaysia dalam bidang fasiliti pintar, IoT, aeroangkasa dan sistem autonomi.
UMPSA Holdings Sdn. Bhd. merupakan sayap komersial UMPSA yang ditubuhkan pada 2004 dan dinamakan semula pada September 2024, dengan fokus menjana pendapatan mampan bagi menyokong penyelidikan, inovasi dan pembangunan akademik universiti. – MADANI NEWS
