PM tegur setiausaha politiknya beri surat sokongan kontraktor projek hospital
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan telah menegur tindakan setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
“(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).
“Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) ‘sila teliti’. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ahmad Shaari mendakwa, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut hanya dua mempunyai kelayakan.
“Yang lain tidak ada rekod CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), dikenakan tindakan tatatertib dan rakyat tidak melihat tindakan daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri),” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pembinaan projek hospital berkenaan yang terkait surat sokongan itu. – MADANI NEWS
