Belanjawan 2026: Meningkatkan Kualiti Hidup, Mengukuhkan Ekonomi Rakyat | Madani News

Belanjawan 2026: Meningkatkan Kualiti Hidup, Mengukuhkan Ekonomi Rakyat

Belanjawan 2026: Meningkatkan Kualiti Hidup, Mengukuhkan Ekonomi Rakyat

KOMITMEN kerajaan untuk mengimbangi antara pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup setiap lapisan masyarakat serta memperkukuh daya tahan ekonomi, menjadi teras utama dalam Belanjawan 2026.

Bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’, peruntukan sebanyak RM419.202 bilion dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan MADANI membuktikan iltizam kerajaan dalam memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional secara menyeluruh.

“Menghampiri tiga tahun pentadbiran MADANI, reformasi serta pembaharuan yang berani dan tuntas telah kita laksanakan, dan mula menghasil anjakan yang membanggakan terutamanya pada siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membentangkan belanjawan negara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan kerajaan MADANI pimpinan Anwar, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Perdana Menteri, kerangka besar Ekonomi MADANI adalah berteraskan kepentingan rakyat, dengan memastikan kerajaan mempunyai keupayaan untuk menyediakan kemudahan asas, mencipta peluang pekerjaan, menjana pendapatan serta meringankan beban kos sara hidup.

“Kini tiba masanya untuk memulangkan hasil kepada rakyat. Sebagai belanjawan sulung yang memberi semangat kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Belanjawan 2026 menetapkan sembilan Tekad Utama yang berpaksikan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI,” katanya.

Meluhurkan tatakelola terbaik sebagai tekad pertama, Anwar menegaskan bahawa pentadbiran MADANI perlu membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan serta memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat.

Beliau berkata, lazimnya apabila kerajaan memerlukan perbelanjaan tambahan untuk menambah baik prasarana atau menyalurkan bantuan kepada rakyat, langkah yang sering diambil adalah menaikkan cukai. Namun begitu, kerajaan kali ini memilih pendekatan berbeza.

“Kerajaan tidak menaikkan cukai, sebaliknya menumpukan kepada pembaikan tatakelola termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi secara lebih berkesan, tanpa menambah beban rakyat,” katanya.

Melalui pendekatan ini, katanya, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai langkah pembanterasan rasuah, mengekang aktiviti penyeludupan serta memecahkan tembok dan melumpuhkan kartel.
— BERNAMA