Penantian 31 tahun peneroka Felda Sungai Buaya berakhir, dapat bayaran akhir pampasan tanah | Madani News

Penantian 31 tahun peneroka Felda Sungai Buaya berakhir, dapat bayaran akhir pampasan tanah

Penantian 31 tahun peneroka Felda Sungai Buaya berakhir, dapat bayaran akhir pampasan tanah
Gambar FB Dr. Sathia Prakash Nadarajan

BAYARAN peringkat akhir pampasan tanah kepada 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya, di Hulu Selangor berjaya menamatkan penantian mereka hampir 31 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata syarikat pengurusan tadbir tanah Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan keseluruhan baki bayaran tertunggak bernilai RM 74.2 juta.

Beliau berkata, kemelut yang panjang itu akhirnya diselesaikan oleh semua pihak yang bergabung dan bekerjasama bermula 2018.

“Alhamdulillah, saya ucapkan penghargaan kepada semua yang merealisasikan harapan peneroka dengan sebahagiannya berusia lebih 80 tahun, malah ada yang sudah meninggal dunia.

“Paling tidak, Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan hal ini,” katanya pada sidang media di perkarangan pejabat MJD Berhad, di Hulu Selangor, lapor Berita Harian.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MJD Berhad, Amirul Fahmi Ahmad.

Justeru, Amirudin menegaskan pihaknya mahu melihat Bandar Sungai Buaya dibangunkan dengan lebih baik.

Beliau berkata, MJD kini sedang membuat ukuran pengezonan dan jika ada keperluan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan.

“Mereka habis beratus juta ringgit untuk selesaikan hal ini. Jadi, saya percaya perlu ada kerjasama dari semua pihak.

“Saya percaya selepas ini Bandar Sungai Buaya dengan ‘interchange’ dan industri sedia ada sudah bersedia untuk bergerak maju menyambut pembangunan yang agak rancak di Hulu Selangor,” katanya.

Ditanya sama ada kawasan lain di Selangor berdepan isu sama, Amirudin berkata, setiap kawasan mempunyai isu tersendiri dan kaedahnya tidak sama serta spesifik seperti Bandar Sungai Buaya. – MADANI NEWS