“Lawan tetap lawan, berani kerana benar” – proses pemain menjadi warga negara disahkan JPN, kata TMJ

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menggantung tujuh pemain warisan tanpa sebarang sebab.
Menerusi platform X, baginda turut berkongsi surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan semua pemain itu sudah menjalani dan mematuhi prosedur yang sah untuk menjadi warga negara Malaysia sekali gus layak mewakili Harimau Malaya.
Justeru, Tunku Mahkota Ismail mengharapkan FAM dapat membuat rayuan secepat mungkin berhubung hukuman yang dikenakan badan induk bola sepak antarabangsa itu.
“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain walaupun proses rayuan belum selesai.
“Who was in New York? Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara.
“Takkan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Tunku Mahkota Ismail turut hairan selepas FIFA dilihat menukar keputusan terbabit meskipun sudah meluluskan permohonan pemain terbabit sebelum ini.
“FAM sudah ikut proses dan kerjasama dengan FIFA & Kerajaan Malaysia. FIFA pun dah approve sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar now?
“Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta