Zara Qairina: Ada unsur buli, pengabaian, gangguan seksual tetapi tiada kaitan cucu TYT - Saifuddin | Madani News

Zara Qairina: Ada unsur buli, pengabaian, gangguan seksual tetapi tiada kaitan cucu TYT – Saifuddin

Zara Qairina: Ada unsur buli, pengabaian, gangguan seksual tetapi tiada kaitan cucu TYT – Saifuddin

”Terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian pelajar tersebut. semua aspek berkenaan dikenal pasti selepas mengambil keterangan daripada 195 saksi setakat hari ini.” – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

 SEDIKIT-sebanyak apa yang berlaku kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mula terdedah berikutan kenyataaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam kenyataannya beliau boleh dianggap menjawab beberapa persoalan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat antara adakah pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapa itu dibuli? Adakah anak VVIP terlibat seperti mana dihebohkan.

Saifuddin mengesahkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian pelajar tersebut.

 Kata beliau,  semua aspek berkenaan dikenal pasti selepas mengambil keterangan daripada 195 saksi setakat hari ini.

“Saya tak tolak daripada membaca tuduhan itu ada elemen buli. Ya, saya nak sebut ada elemen buli. Jelas ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah, jadi kita siasat ada elemen pengabaian,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan,  siasatan polis mendapati kes itu tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak.

‘’Siasatan turut tidak menemui mangsa meninggal dunia akibat didera dalam mesin basuh.

“Siasatan kita menyeluruh dan terperinci. Kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu, sudah timbul beberapa kenyataan seperti (pelaku) yang terbabit adalah cucu kepada TYT, pengetua adalah isteri menteri dan cara mati didera di mesin basuh. Keadaan sudah jadi toksik seperti itu sekali.

“Bagaimanapun, siasatan polis tidak menemui semua itu. Tiada hasil keterangan 195 saksi, tidak ada sama sekali,” tegasnya.

Saifuddin berkata, beberapa bahan bukti termasuk diari 51 halaman milik Zara yang diserahkan guru kepada polis.

“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara diserahkan oleh guru kepada polis. Catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen apakah masalah yang sedang dia hadapi

“Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal satu asrama dengan dia dan apakah yang berlaku pada 14 dan 15 Julai. Itu semua polis lengkapkan dalam siasatan.”

Dalam pada itu, Saifuddin berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pagi tadi untuk meneruskan proses seterusnya.

Katanya, siasatan Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini juga sudah menetapkan tarikh inkues bermula awal September nanti.

“Pagi tadi pihak polis sudah menyerahkan kepada peguam negara dan sekarang kita tunggu keputusan sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya,” katanya.