Wanita berjoging dirempuh pemandu mabuk, meninggal dunia selepas 7 hari bertarung nyawa | Madani News

Wanita berjoging dirempuh pemandu mabuk, meninggal dunia selepas 7 hari bertarung nyawa

Wanita berjoging dirempuh pemandu mabuk, meninggal dunia selepas 7 hari bertarung nyawa
Gambar FB keluaarga

SEORANG wanita yang parah selepas dirempuh ketika berjoging dengan rakan-rakan oleh sebuah pikap dipandu lelaki dipercayai mabuk, meninggal dunia pagi tadi di Hospital Tawau selepas tujuh hari bertarung nyawa.

Mangsa, Darna Tajudin, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas mengalami brain death.

Dalam kejadian pada 10 Ogos lalu, jam 7.55 malam di Batu 9, Jalan Apas, Darna bersama rakan-rakannya sedang berjoging dari Bandar Sri Indah menuju T2 Jalan Apas sebelum dirempuh.

Adik mangsa, Yusmi Tajudin, 39, berkata kakaknya meninggalkan lima anak berusia antara 9 hingga 18 tahun.

“Bagaimanapun, kami belum dapat memaklumkan bila jenazah akan dikebumikan kerana masih menunggu prosedur lanjut memandangkan kes ini dalam siasatan polis,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pikap Toyota Hilux berusia 57 tahun melanggar belakang sebuah Perodua Alza dipandu lelaki 39 tahun.

Akibat perlanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh mangsa yang sedang berjoging, menyebabkan Darna cedera parah.

“Berikutan perkembangan terbaru kes ini, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MADANI NEWS