Rampasan buat heboh, perlucuthakan buktikan kes | Madani News

Rampasan buat heboh, perlucuthakan buktikan kes

Rampasan buat heboh, perlucuthakan buktikan kes

Oleh: Tan Sri Dzulkifli Ahmad

Dalam siasatan jenayah komersial, rasuah, dan penggubahan wang haram, kita sering melihat tajuk utama seperti: “berjuta atau berbilion aset dirampas” atau “ratusan akaun dibekukan.”

Sekilas pandang, ia kelihatan seperti satu kejayaan besar. Namun hakikatnya  kejayaan sesuatu siasatan tidak boleh diukur dengan jumlah aset yang dirampas. Ukuran sebenar ialah berapa banyak yang akhirnya dilucut hak oleh mahkamah.

Rampasan menghasilkan tajuk berita yang sensasi. Perlucuthakan pula membuktikan kes di sisi undang-undang dan membawa keadilan sebenar.

Rampasan / Pembekuan

Langkah sementara: Aset hanya disekat supaya tidak boleh dipindah, dijual atau disorok sepanjang siasatan.

Hak milik kekal: Individu atau syarikat masih pemilik sah. Kerajaan hanya menyekat penggunaannya.

Berdasarkan syak wasangka atau kepercayaan munasabah, bukan bukti: Rampasan boleh berlaku pada peringkat awal, walaupun sebelum pertuduhan difailkan.

Kesan: Mengganggu operasi perniagaan atau kehidupan individu, tetapi tidak bermakna kehilangan hak milik.

“Anda masih pemilik, tetapi anda tidak boleh menyentuhnya.’’

 Perlucuthakan / Forfeiture

Muktamad dan kekal: Hak milik aset dilucutkan dan berpindah kepada kerajaan.

Hanya melalui mahkamah: Hakim mesti berpuas hati bahawa aset tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram.

Kesan: Pemilik asal kehilangan aset itu untuk selama-lamanya; ia menjadi harta negara.

 “Ia bukan lagi milik anda. Kini ia milik kerajaan.”

Mengukur kejayaan siasatan: Perlucuthakan, Bukan Rampasan

Dalam membanteras jenayah komersial, rasuah dan penggubahan wang haram:

Rampasan tanpa perlucuthakan bermakna penyiasat gagal membuktikan kes di mahkamah.

Perlucuthakan pula membuktikan kerajaan berjaya menegakkan haknya secara sah dan menafikan penjenayah daripada terus menikmati hasil haram.

Itulah sebabnya ukuran sebenar kejayaan bukan pada nilai rampasan, tetapi pada jumlah perlucuthakan yang diperintahkan mahkamah.

Jika tidak, kita hanya mengelirukan masyarakat dengan gangguan sementara, bukan akauntabiliti sebenar.

Mengapa ini penting?

Sebagai masyarakat yang berdepan dengan jenayah komersial, rasuah dan penggubahan wang haram:

Kita tidak boleh mudah terpesona dengan pengumuman “rekod rampasan.” Kita mesti bertanya: “Berapa banyak akhirnya dilucut hak?”

Hanya perlucuthakan menjamin bahawa hasil haram tidak kembali ke tangan penjenayah, dan keadilan benar-benar ditegakkan.

Kejayaan siasatan mesti diukur dengan perlucuthakan, bukan rampasan.

Kesimpulan

Dalam siasatan jenayah komersial, rasuah dan penggubahan wang haram, rampasan hanyalah langkah awal dalam proses siasatan. Ia menghalang aset daripada dipindah atau disembunyikan — tetapi ia bukan bukti kesalahan.

Perlucuthakan ialah penamat sebenar yang menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu siasatan. Ia memerlukan pengesahan kehakiman bahawa aset adalah hasil jenayah, dan memastikan ia kekal diambil alih oleh negara.

Rampasan mungkin mencetuskan heboh di media. Tetapi perlucuthakanlah yang membuktikan kes, membawa keadilan, akauntabiliti, dan mengembalikan hak sebenar kepada masyarakat.

* Tan Sri Dzulkifli Ahmad adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bekas Timbalan Pendakwa Raya.