Penipuan pelaburan MBI International Group : 3 lelaki bergelar Datuk ditahan | Madani News

Penipuan pelaburan MBI International Group : 3 lelaki bergelar Datuk ditahan

Penipuan pelaburan MBI International Group : 3 lelaki bergelar Datuk ditahan
Mohd Khalid Ismail meninjau suasana di dalam salah satu unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

‘’Jumlah kumulatif aset yang dibekukan dan dirampas dalam siasatan ini setakat ini mencecah RM6.6 bilion’’. – Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

POLIS terus memburu habis-habisan individu yang terlibat dalam skim penipuan pelaburan MBI International Group apabila menahan enam orang lagi baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara yang ditahan termasuk tiga ahli perniagaan bergelar Datuk yang mempunyai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

‘’ Mereka adalah antara lima lelaki dan seorang wanita yang ditahan antara 26 Julai hingga 15 Ogos lalu,’’ katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan empat unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Kenderaan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd Datuk Ir. Mohd Nasser Israil kepada Mohd Khalid.

 Beliau berkata, tiga yang ditahan ialah  penjaga ladang durian dan seorang akauntan dan kesemua mereka direman antara empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan.

‘’Kebanyakan suspek dipercayai bertindak sebagai proksi untuk menerima dana yang dihantar dari luar negara, sebelum disalurkan kepada tujuan lain di Malaysia.

“Ia adalah cara untuk ‘membersihkan’ wang. Dana itu dilaburkan dalam hartanah, pembelian tanah untuk pertanian dan pelaburan lain, sebelum ditunjukan sebagai keuntungan syarikat,” katanya.

Mohd. Khalid menjelaskan, polis menggunakan peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk membekukan serta merampas aset dalam siasatan kali ini.

Khalid berkata nilai keseluruhan aset yang dibekukan dan dirampas kali ini dianggarkan berjumlah RM97.69 juta.

“Antara aset yang dibekukan dan dirampas ialah 88 akaun bank bernilai RM10.5 juta; 398.8 juta unit saham dianggarkan bernilai RM86.8 juta daripada dua syarikat tersenarai di Bursa, wang tunai RM300,000,tujuh kereta mewah; lima jam tangan mewah,dua beg tangan berjenama enam telefon bimbit dan pelbagai dokumen berkaitan.

“Dengan ini, jumlah kumulatif aset yang dibekukan dan dirampas dalam siasatan ini setakat ini mencecah RM6.6 bilion,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Amla Bukit Aman, Hasbullah Ali, berkata 17 individu ditahan berkaitan siasatan MBI dengan aset bernilai RM3.81 bilion dibekukan dan dirampas.

Beliau berkata tangkapan itu termasuk usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi dan rakan perniagaan dalam skim pelaburan palsu tersebut.