KPK siasat kuota tambahan haji diseleweng, Indonesia rugi lebih RM384 juta   | Madani News

KPK siasat kuota tambahan haji diseleweng, Indonesia rugi lebih RM384 juta  

KPK siasat  kuota tambahan haji diseleweng, Indonesia rugi lebih RM384 juta  

DI INDONESIA  kini heboh memperkatakan mengenai berlakunya amalan rasuah dalam pembahagian 20,000 kuota tambahan yang bukan sahaja merugikan negara itu dari segi pendapatan tetapi juga menyebabkan giliran jemaah haji biasa (muassasah) yang sudah mendaftar bertahun-tahun turut terjejas.

Jurucakap Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia, Budi Prasetyo berkata, kuota yang seharunya diberikan untuk jemaah haji muassasah telah dijual kepada jemaah haji khusus (pakej) mengakibatkan sekitar 8,400 calon  jemaah haji muassasah terjejas giliran mereka

Jemaah haji khusus merujuk program haji yang diselenggarakan oleh Penyelenggara Ibadah Haji Khusus (PIHK) dengan kuota rasmi daripada pemerintah, namun dengan fasililiti dan layanan yang  lebih eksklusif dibandingkan haji biasa.

Ia sama seperti mana Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik oleh Lembaga Tabung Haji. 

 Memetik laporan mediaindonesia.com, Budi berkata, ketika ini KPK masih terus menyiasat dakwaan berlakunya amalan rasuah dalam kuota tambahan serta penyelenggaran haji 2023-2024.

Beberapa saksi sudah diambil keterangan termasuklah bekas Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas yang turut dikenakan sekatan ke luar negara. Turut dikenakan sekatan yang sama ialah seorang pemilik syarikat umrah dan haji, Fuad Hasan Masyhur.

KPK mengesyaki berlaku penyelewengan dalam pembahagian 20,000 kuota haji tambahan yang diberikan pemerintah Arab Saudi.

Budi menjelaskan tambahan kuota haji itu seharusnya dibahagi menjadi 18,400 atau 92% untuk haji muassasah manakala  1,600 atau  8% untuk haji khusus. 

‘’Bagaimanapun dalam pelaksanaannya kuota tersebut dibahagi dua. (Kuota) regular (muassasah)  itu sepatutnya mendapat 18,400 atau 92 % minima tetapi berlaku pembahagian sama rata iaitu 10,000 untuk haji muassasah dan 10,000 untuk haji khusus.

‘’Maknanya kuota muassasah  berkurangan 8,400, di mana ia diberikan  kepada kuota khusus,” katanya.

Budi berkata, tindakan pembahagian yang tidak sepatutnya memberi kesan kepada jemaah haji muassasah yang telah lama menanti giliran untuk menunaikan ibadah itu.

Siasatan KPK tertumpu kepada pembahagian kuota tambahan haji pada tahun 2023-2024 di Kementerian Agama yang berlaku ketika Yaqut Cholil Qoumas menjadi Menteri Agama.

 KPK telah bekerjasama dengan Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) – Jabatan Audit Indonesia – untuk menghitung jumlah kerugian kepada negara itu berikutan kes rasuah tersebut dan berdasarkan pengiraan awal KPK, kerugian mencapai Rupiah 1 triliun (RM384 juta). 

Mengikut undang-undang Indonesia berkaitan penyelenggaraan ibadah haji dan umrah, kuota haji khusus (pakej) ditetapkan sebanyak 8 % manakala kuota haji muassasah 92%.

Berikutan itu 20,000 kuota tambahan haji yang diterima harus dibahagikan menjadi 18,400 untuk haji muassasah dan 1.600 untuk haji khusus (pakej).