Ibu Zara Qairina isi borang enggan bedah siasat selepas dua kali ditanya pegawai penyiasat | Madani News

 Ibu Zara Qairina isi borang enggan bedah siasat selepas dua kali ditanya pegawai penyiasat

 Ibu Zara Qairina isi borang enggan bedah siasat selepas dua kali ditanya pegawai penyiasat

Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

NORAIDAH Lamat, ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat anaknya atas kemahuan sendiri disaksikan oleh kakak iparnya.

Dia berbuat demikian selepas ditanya dua kali oleh pegawai penyiasat berhubung pelaksanaan proses bedah siasat terhadap Zara Qairina ketika berada di hospital pada 17 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata namun pendirian Noraidah masih kekal untuk tidak mahu proses itu dilakukan bagi menyegerakan pengebumian.

“Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup derita.

“Di sini, pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.

“Pegawai polis pula bila diminta maklumkan kepada ibunya. Ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibunya dan ibu kekal dengan pendirian.

“Dokumen semua siap dan keputusan itu dibuat atas kehendak ibu dan didokumenkan secara sah. Sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya permintaan dia,’’ katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) itu dianggap sebagai tidak patuh dan ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman.

Ketika menjawab soalan ketika sesi perbahasan itu Saifuddin  berkata, tindakan Noraidah menandatangani surat akuan itu adalah fakta dan ia sama sekali tidak bermaksud untuk meletakkan ibu mangsa dalam posisi bersalah.

Beliau berkata, sama ada ibu mangsa diberi kefahaman berhubung proses bedah siasat, perkara itu boleh dijelaskan melalui inkues nanti.

“Jauh sekali apabila sebut soal persetujuan ibu menandatangani surat akuan itu, tidak terlintas bahawa kenyataan fakta terbabit adalah untuk meletakkan ibu dalam posisi bersalah.

“Saya hanya maklumkan fakta bahawa pegawai penyiasat khilaf dan niat dia hendak permudahkan urusan ibu dan menyegerakan proses pengebumian. Namun tindakan itu tidak akan dipertahankan, malah jabatan siasatan jenayah mengambil pendirian akan membuat langkah susulan,” katanya.