Eda Ezrin serik jejak Thailand, trauma 9 bulan dalam penjara | Madani News

Eda Ezrin serik jejak Thailand, trauma 9 bulan dalam penjara

Eda Ezrin serik jejak Thailand, trauma 9 bulan dalam penjara

“SAYA sangat trauma untuk menjejakkan kaki ke Thailand. Saya tidak akan melancong apatah lagi menerima tawaran persembahan di sana dalam beberapa tahun ini.”

Itu luahan penyanyi dikir barat popular Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang dibebaskan daripada Penjara Pusat Narathiwat pada 6 Ogos lalu selepas lebih sembilan bulan merengkok di sebalik tirai besi.

Menurutnya, pengalaman getir itu meninggalkan kesan mendalam yang sukar dipadamkan sepanjang hidupnya.

“Setiap kali ke Thailand sebelum ini memang untuk kerja, bukan melancong semata-mata. Tapi selepas apa yang berlaku, saya serik. Trauma itu masih terasa walaupun sudah kembali ke pangkuan keluarga,” katanya memetik laporan BH Online.

Belajar erti kawan sebenar

Mengulas pengajaran sepanjang sembilan bulan diuji, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui kini lebih berhati-hati dalam menilai erti persahabatan.

“Nak cari kawan memang senang, tapi sahabat sejati amat susah. Masa dalam penjara, baru saya nampak siapa yang benar-benar peduli. Bila kita jatuh ke titik terendah, ramai kawan hilang.

“Apa yang berlaku pun berpunca daripada kawan atas kawan. Jadi saya belajar, biar kawan sedikit, janji berkualiti,” ujarnya.

Kenangan yang tidak dilupakan

Di sebalik episod hitam itu, Eda masih menyimpan momen yang menyentuh hati.

“Saya pernah menjadi bilal ketika solat tarawih, juga ketika solat Aidilfitri dan Aidiladha di penjara. Itu pengalaman yang saya takkan lupa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan lain dibebaskan selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi serta bukti untuk merayu kes tersebut. – MADANI NEWS