Dua juruterbang TUDM terlibat kemalangan pesawat F/A-18D Hornet selamat

Dua juruterbang yang terbabit dalam kemalangan pesawat pesawat F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi disahkan selamat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat kemalangan berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet itu hendak melakukan penerbangan.
“Pihak polis sedang menunggu laporan hasil pemeriksaan dilakukan oleh pasukan perubatan HTAA. Tetapi setakat ini, disahkan kedua-dua juruterbang terbabit selamat,” katanya lapor Berita Harian.
Yahaya berkata, lokasi nahas adalah di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan tidak membabitkan penempatan awam.
Dalam satu kenyataan TUDM memaklumkan insiden kemalangan melibatkan pesawat itu berlaku pada jam 9.05 malam di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah.
“TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan tersebut. Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, dua video tular memaparkan kepulan cahaya menjulang serta asap tebal yang dipercayai dirakam penduduk berhampiran lokasi kejadian. – MADANI NEWS