Doktor wanita rugi RM468,000 jadi mangsa penipuan pelaburan | Madani News

Doktor wanita rugi RM468,000 jadi mangsa penipuan pelaburan

Doktor wanita rugi RM468,000 jadi mangsa penipuan pelaburan

AKIBAT terperdaya dengan janji akan memperolehi keuntungan lumayan antara 80 hingga 128 peratus dalam tempoh sebulan, seorang  doktor wanita di Kuantan kerugian RM468,000 ditipu  pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi laman Facebook pada Mei lepas.

Mangsa berusia 55 tahun itu telah tertarik dengan iklan pelaburan itu sebelum dihubungi seorang individu kononnya mewakili syarikat pelaburan antarabangsa, Nikko Asset Management yang berpangkalan di Singapura.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek telah menjanjikan keuntungan lumayan tersebut dan mangsa yang terpengaruh dengan tawaran berkenaan telah membuat 14 transaksi ke empat akaun berbeza dari 17 Jun hingga 6 Ogos, menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Selepas pembayaran dibuat, mangsa hanya diberikan paparan keuntungan palsu melalui gambar yang dihantar oleh suspek. Berdasarkan gambar tersebut, keuntungan yang diperolehi wanita itu adalah berjumlah RM800,000 termasuk modal.

“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM152,725 kononnya sebagai cukai sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan tersebut. Namun, mangsa mula berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata hasil semakan mendapati Nikko Asset Management merupakan sebuah syarikat pengurusan pelaburan sah yang berpusat di Tokyo, Jepun dan mempunyai cawangan di beberapa negara, bagaimanapun nama syarikat tersebut telah disalah guna oleh scammer untuk memperdaya mangsa dalam kes penipuan pelaburan ini.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.