Counter-setting: 2 pegawai Imigresen KLIA ditahan bantu siasatan kes rasuah RM400,000

DUA pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM400,000 untuk membenarkan warga asing dibawa masuk tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari hingga 26 Ogos ini dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Menurut sumber kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang berjawatan Gred KP1 dan KP2 ditahan dalam satu operasi serentak di Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor pada Isnin lepas.
“Tangkapan dibuat susulan operasi SPRM sebelum ini bagi membanteras sindiket counter-setting di KLIA 1 dan 2 yang dipercayai meraih wang rasuah ratusan ribu ringgit bagi membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara sejak 2022 hingga 2024,” katanya lapor BERNAMA.
Susulan tangkapan itu, SPRM turut merampas sejumlah wang tunai dan membekukan beberapa akaun bank milik suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan.