Bola sepak: Mengharap sinar menelan kabus


LIGA Super musim baharu sudah bermula. Diperkenalkan pada 2004, liga ini sudah berusia 21 tahun. Tetapi sepanjang tempuh itu adakah ia berjaya menyemarakkan bola sepak tanah air?
Bola sepak Malaysia telah melalui transformasi bermula pada 1989 dengan pengenalan liga Semi Profesional (Semi Pro). Mulai 1994 Liga Profesional sepenuhnya diperkenal, dikenali sebagai Liga Perdana. Seterusnya Liga Super diperkenal pada 2004.
Liga Perdana terbahagi kepada Divisyen 1 dan Divisyen 2. Ada sistem naik dan turun pangkat. Dua pasukan paling bawah dalam Divisyen 1 turun ke Divisyen 2. Dua pasukan teratas dalam Divisyen 2 diangkat ke Divisyen 1.
Liga Semi Pro dan liga profesional bermatlamat mengangkat martabat bola sepak Malaysia. Justeru, sejajar dengan pelaksanaan kedua-dua liga tersebut, pintu bola sepak negara terbuka kepada pemain import.
Pada era Semi Pro, jumlah pemain import terhad. Hanya dua atau tiga pemain dibenar beraksi untuk setiap pasukan. Namun Liga Super membuka pintu lebih luas kepada jurulatih serta pemain import. Lebih ramai berpeluang beraksi dengan tawaran gaji tinggi.
Yang diharap ialah era profesional dengan kehadiran pemain import jadi pemangkin peningkatan mutu bola sepak negara serta kualiti pemain tempatan. Andaiannya, pemain import menjadi ‘cikgu’ kepadas pemain tempatan yang sebenarnya tidak kurang hebat.
Namun setelah sekian lama, adakah bibit harapan ini berjaya direalisasikan? Berapa ramai pemain hebat dapat dihasilkan? Sejauh mana meningkatnya prestasi bola sepak negara?
Imbas kembali waktu dahulu sewaktu Malaysia tidak ada Liga Semi Pro, tidak ada Liga Profesional dan tidak ada jurulatih serta pemain import. Tetapi nama Malaysia harum di persada bola sepak.
Bukan sahaja Malaysia antara negara disegani di Asia, tetapi juga memiliki ramai pemain berkalibar yang sentiasa digeruni lawan.
Sekadar contoh, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam, Syed Ahmad, James Wong, M. Chandran, Shukur Salleh, Wing Kam Fook, Namat Abdullah, Abdullah Ali, Isa Bakar, Wan Zawawi, Hassan Sani, Dell Akbar, Bahwandi Hiralal adalah antara nama bintang hebat yang terpahat hingga kini.
Dengan berbekalkan jurulatih dan pemain tempatan, tanpa ganjaran mewah wang ringgit, pasukan bola sepak Malaysia dihormati. Pelbagai kejayaan dicapai di peringkat antarabangsa.
Lebih hebat Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik dua kali. Bukan mudah mencapai kegemilangan ini. Pada 1972 Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman Barat. Jurulatih Jalil Che Din, pengurus pasukan Datuk Harun Idris.
Kali kedua Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980. Tetapi negara tidak menyertai Olimpik tahun itu kerana membantah pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.
Dengan bersandarkan jurulatih dan pemain tempatan, Malaysia mempamerkan kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Dahulu pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan mampu Malaysia jinakkan.
Sekarang kedua-dua pasukan itu melangkah kaki dalam persaingan Piala Dunia sedangkan mutu bola sepak Malaysia terus samar dibayangi kabus. Jangan kata ke Piala Dunia, peringkat Piala Asia pun tidak lepas. Orang lain makin maju, Malaysia makin suram.
Niat murni Persatuan BolaSepak Malaysia (FAM) untuk membangun dan memajukan bola sepak negara memang disokong. Cuma sayangnya, setelah melalui proses transformasi, masih belum nampak hasil membanggakan.
Liga Super yang sepatutnya lebih gah sejajar usia, sebaliknya sebaliknya dilanda pelbagai masalah. Antara isu utama ialah kegagalan membayar gaji jurulatih dan pemain sehingga tertunggak berbulan-bulan.
Dalam era profesional sepenuhnya, pegawai dan pemain bergantung kepada gaji. Bagaimana untuk menyara kehidupan seharian jika gaji tidak dibayar? Mana duit sewa rumah, belanja harian, kenderaan dan utiliti? Ini menjadikan semangat bermain luntur.
Bagi penulis, isu ini memalukan dan bagai merendahkan taraf bola sepak profesional. Manakan tidak, sudah memasuki era profesional masih terkial-kial dilanda pelbagai masalah. Orang luar akan pandang sinis.
Jika isu gaji terus membelenggu, pemain luar pun takut datang, pemain tempatan tawar hati. Pasukan ‘kaya’ memang mampu menawarkan ganjaran tinggi. Bagaimana dengan pasukan yang kedudukan kewangan sempit?
Isu ini sudah lama berlarutan hingga ke tahap merisaukan. Kerana kekangan kewangan, Perak dan Pahang tercicir dalam persaingan Liga Super musim ini. Sangat menyedihkan kerana kedua-dua pasukan adalah nama besar dalam kancah bola sepak tempatan.
Juga dalam membuka pintu luas kepada jurulatih dan pemain import, adakah mereka telah benar-benar membantu meningkatkan mutu bola sepak tempatan serta melahirkan pemain yang lebih hebat dan kental?
Setelah ‘memprofesionalkan’ bola sepak Malasia, kita tidak boleh berundur. Namun tidak salah mengkaji dan menilai kembali liga serta berusaha mengatasi kekurangan dan memperbaiki kelemahan agar liga terus relevan. Ini termasuk isu gaji dan kuota pemain.
Semoga ada sinar menelan kabus menyinari masa hadapan bola sepak profesional Malaysia. Hasrat memartabatkan bola sepak dan mengharumkan nama negara mesti dicapai.
Kegemilangan yang pernah dicapai dahulu mesti dikembalikan. Tidak salah bernostalgia kejayaan dahulu sebagai iktibar mencipta kejayaan lebih baik. Sejarah adalah sebaik-baik pengajaran. – MADANI NEWS