Bantuan SARA RM100 untuk semua rakyat Malaysia boleh dibelanjakan mulai hari ini | Madani News

Bantuan SARA RM100 untuk semua rakyat Malaysia boleh dibelanjakan mulai hari ini

Bantuan SARA RM100 untuk semua rakyat Malaysia boleh dibelanjakan mulai hari ini

BANTUAN Bantuan umbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri menerusi MyKad disalurkan mulai hari ini dan boleh dibelanjakan hingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga SARA di seluruh negara termasuk melalui program Jualan Rahmah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Anwar berkata, pemberian itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat, yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara.

“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kos sara hidup kekal sebagai cabaran mesti ditangani dengan bijaksana dan segera meskipun kadar inflasi keseluruhan pada Jun tahun ini adalah yang terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, namun kenaikan harga makanan minuman masih melebihi purata inflasi.

“Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.

“Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan FOMCA berpendapat sumbangan sebanyak RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas boleh memberikan kesan besar sekiranya digunakan secara berhemat.

Ketua Pegawai Operasi FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin, berkata bantuan itu sekali gus mampu meringankan beban rakyat dalam menyediakan barangan asas harian.

“Inisiatif kerajaan melalui program MyKasih wajar diberi perhatian kerana pelbagai barangan asas ditawarkan pada harga jauh lebih rendah berbanding harga biasa. Selain itu, program Jualan Rahmah juga menawarkan harga yang jauh lebih rendah daripada kedai biasa.

“Dengan RM100, rakyat bukan sahaja boleh membeli barangan keperluan yang terpilih dengan jumlah lebih banyak, malah mereka juga berpeluang menikmati penjimatan yang ketara melalui program MyKasih. Hal ini jelas membuktikan bahawa bantuan yang kecil sekalipun tetap mempunyai nilai besar apabila digabungkan dengan inisiatif kerajaan yang dirangka khusus untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MADANI NEWS