Ahli politik ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan – Tengku Maimun

‘‘Persepsinya nanti ialah apa sahaja kehendak Perdana Menteri, tokoh-tokoh ternama ini mungkin akan terikat, atau merasa terhutang budi untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri. Walaupun ini hanya soal persepsi, saya fikir dalam badan kehakiman, persepsi itu penting,”- Bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Man.
AHLI politik merupakan ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut menegaskan semula pendirian beliau bahawa Perdana Menteri tidak boleh terlibat dalam pelantikan kehakiman.
Memetik laporan Malaysiakini, menjawab soalan hadirin dalam satu acara di Allianz Centre for Governance (ACG), Kuala Lumpur hari ini, Tengku Maimun berkata ahli politik sendiri yang mengancam kesucian dan keluhuran Perlembagaan.
“Ancaman paling besar adalah ahli politik. Maaf, saya fikir lebih baik saya tak huraikan dengan lanjut (berkenaannya),” katanya.
Tengku Maimun berkata sementara beliau tidak pernah berdepan “campur tangan” mana-mana pihak ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, keadaan berbeza ketika dia menjadi Ketua Hakim Negara.
“Menjelang penghujung tempoh saya sebagai Ketua Hakim Negara, ada tanda-tanda cubaan campur tangan,” katanya tanpa mendedahkannya dengan lebih lanjut.
Tengku Maimun turut mengulang pendiriannya bahawa Perdana Menteri tidak sepatutnya terlibat dalam pelantikan pesuruhjaya kehakiman.
Katanya, undang-undang sedia ada yang membenarkan Perdana Menteri melantik lima anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) wajar dipinda bagi mengelakkan terhakisnya persepsi awam terhadap badan kehakiman.
Daripada lima lantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri dalam JAC, seorang adalah hakim Mahkamah Persekutuan manakala selebihnya merupakan tokoh ternama yang bukan daripada eksekutif atau perkhidmatan awam.
Tengku Maimun membayangkan jika Perdana Menteri terus berperanan dalam pemilihan tersebut, akan timbul “sedikit masalah”.
“…Persepsinya nanti ialah apa sahaja kehendak Perdana Menteri, tokoh-tokoh ternama ini mungkin akan terikat, atau merasa terhutang budi untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri. Walaupun ini hanya soal persepsi, saya fikir dalam badan kehakiman, persepsi itu penting,” katanya.
Beliau menegaskan gesaannya sebelum ini agar peranan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman dimansuhkan, dibuat selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengeluarkan kenyataan serupa pada 2022.
Walaupun cadangannya itu jelas mendapat sokongan istana, Tengku Maimun kesal kerana ucapannya di Malta awal tahun ini mengenai isu itu telah menjadi “heboh besar tanpa sebab”.
Bekas Menteri Undang-Undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebelum ini mendakwa ucapan Tengku Maimun di Malta — di mana beliau menyebut bahawa memansuhkan penglibatan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman boleh membantu menghakis persepsi campur tangan politik telah menyebabkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun tidak dilanjutkan.
Nazri dilaporkan berkata, Tengku Maimun sepatutnya menyuarakan kebimbangan itu secara tertutup, menyebabkan pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan turut mengecam dakwaan Nazri bahawa gesaan Tengku Maimun telah melemahkan eksekutif.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai “kelewatan” pelantikan penggantinya, Tengku Maimun menganggap perkara itu sebagai isu remeh.
“Saya tidak fikir kelewatan itu salah sesiapa — prosesnya memang perlu dibawa ke Majlis Raja-Raja, yang hanya bersidang pada tarikh-tarikh tertentu,” katanya.
Namun, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai “beberapa kelewatan” dalam pelantikan ke JAC – proses yang tidak memerlukan rundingan dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi sejumlah nama yang dilantik baru-baru ini, nama mereka telah dihantar untuk pertimbangan hampir setahun yang lalu…saya sendiri tidak tahu mengapa ada kelewatan dalam hal itu,” katanya lagi.
Tengku Maimun, yang merupakan wanita pertama yang menjadi Ketua Hakim Negara, memulakan tugas pada Mei 2019 dan bersara pada 1 Julai lalu. Beliau digantikan oleh Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mengangkat sumpah pada 28 Julai.